Sunday 18 August 2013

Infaq wajib adalah hukum yang mengelirukan, kerana tiada di dalam Rukun Islam dan Rukun Iman

Rukun Islam dan Rukun Iman

RUKUN ISLAM

1. Mengucap dua kalimah syahadah.

2. Menunaikan solat lima waktu dalam sehari semalam.

3. Berpuasa di bulan Ramadhan.

4. Mengeluarkan Zakat.

5. Melaksanakan haji bagi mereka yang mampu.

RUKUN IMAN

1. Beriman kepada ALLAH.

2. Beriman kepada Malaikat-Malaikat ALLAH.

3. Beriman kepada Kitab-Kitab ALLAH.

4. Beriman kepada Rasul-Rasul ALLAH.

5. Beriman kepada hari Kiamat.

6. Beriman kepada Qada dan Qadar.

Saturday 17 August 2013

Ambil tahu bahaya penyebaran ajaran Syiah di Malaysia

Penyebaran ajaran sesat Syiah bukan isu baharu. Kita sudah mendengar kesesatan ajaran itu sejak tahun 1990-an lagi.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 pun telah memutuskan ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam.

Sebab itu beberapa kali, Majlis Fatwa Kebangsaan mengingatkan sebarang bentuk penyebaran Syiah atau ajaran agama lain daripada ajaran Islam mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini adalah dilarang.

Baru-baru ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengisytiharkan sebuah pertubuhan bernama Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai haram berkuat kuasa serta-merta mengikut Seksyen 5 (1), Akta Pertubuhan 1966 kerana mencetuskan keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Syabas diucapkan kepada kepimpinan KDN yang baru ini. Pihak berkuasa agama negeri khasnya, kenalah bertindak tegas terhadap penganut fahaman Syiah ini. Kita kena bendung pengembangan Syiah di negara ini sebelum terlewat.

Kesan buruk ajaran ini dapat kita lihat pada konflik yang wujud antara puak Syiah dan Sunni di Iraq, Pakistan dan beberapa negara Arab. Mereka saling bermusuhan dan berbunuhan. Apakah kita harus membiarkan gejala ini meresap masuk dan mempengaruhi umat Melayu dan Islam di Malaysia?

Kita sedar, sejak fatwa penyelewengan itu dikeluarkan, belum nampak satu tindakan tegas dan berani diambil terhadap individu yang dilihat cuba menyebarkan dakyah ajaran Syiah itu.

Hakikatnya, memang bukan mudah untuk pihak berkuasa dan jabatan agama mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas sebarang aktiviti penyebaran fahaman itu. Punca halangan itu ialah terdapat beberapa negeri belum mewartakan enakmen berhubung isu Syiah berkenaan.

Sebab itu gesaan supaya setiap negeri yang belum mewartakan fatwa menyekat penyebaran syiah tersebut perlu dilaksanakan segera. Ia bertujuan bagi membolehkan penguatkuasaan dapat dilaksana secara menyeluruh.

Kita kena faham kenapa Syiah tidak boleh disebar di Malaysia. Syiah bukan ajaran Islam, jadi statusnya sama seperti agama-agama lain di negara ini. Oleh itu pengikut Syiah boleh mengamalkan ajaran mereka tetapi dilarang sama sekali mengembangkan atau menyebarkan fahaman tersebut kepada umat Islam yang majoritinya mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pengaruh ajaran sesat Syiah dilaporkan semakin berkembang di negara ini berdasarkan bilangan ahli pertubuhan tersebut.

Hal ini menjadi lebih membimbangkan apabila ada dakwaan beberapa tokoh politik tertentu terlibat sebagai penganut dan pihak yang bertanggungjawab dalam menyebarkan fahaman Syiah itu di negara ini.

Hasil carian maklumat di Internet, didapati gerakan Syiah di Malaysia dibiayai secara langsung oleh kerajaan dan ahli perniagaan Iran. Menerusi gerakan ini, fahaman Syiah disebarkan dengan meluas tanpa sebarang tindakan berkesan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Akhirnya muncul beberapa tokoh profesional Syiah dalam kalangan pemimpin berpengaruh, pensyarah, ahli profesional, pakar perubatan, golongan guru termasuk guru sekolah agama.

Pada hari ini, gerakan menyebarkan fahaman Syiah ini bergerak secara terang-terangan berikutan pertambahan 'ahli' mereka.

Cari dan bacalah maklumat mengenai penyebaran fahaman Syiah di Malaysia supaya kita memahami gerakan mereka.

Kini mereka sebar melalui Internet. Sebelum ini gerakan Syiah menyebarkan fahaman melalui beberapa cara. Pertama melalui lawatan pemimpin negara Iran ke Malaysia yang disusuli dengan kempen dan penerangan fahaman Syiah serta lawatan rakyat Malaysia ke Republik Islam Iran itu.

Kedua melalui pelajar Malaysia yang ditawarkan belajar di Iran dengan diberi biasiswa dan kemudahan asas yang secukupnya atau melalui pegawai-pegawai Kedutaan Iran di Malaysia yang membuat lawatan ke pusat-pusat pengajian tinggi di Malaysia.

Ketiga, dengan memberi hadiah berupa buku fahaman Syiah kepada perpustakaan-perpustakaan umum seperti perpustakaan universiti, masjid dan kedai buku yang terkenal.

Banyak maklumat tentang penyelewengan dan bahaya ajaran Syiah perlu kita ketahui.

Langkah Kementerian Dalam Negeri memantau dan sedia mengambil tindakan undang-undang ke atas beberapa pemimpin kanan sebuah parti politik kerana bertanggungjawab menyebarkan fahaman Syiah di negara ini sangat dialu-alukan.

Apa yang patut kita lakukan sebagai rakyat dan umat Islam berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah?

Ikutlah nasihat Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebagai ibu bapa dan guru agama elok mereka menyemai dengan mendalam pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kalangan anak-anak sejak kecil bagi membolehkannya dijadikan pegangan kukuh ketika dewasa kelak.

Kata negarawan itu, kegagalan berbuat demikian, dikhuatiri akan menyebabkan mereka mudah dipengaruhi ajaran lain seperti Syiah atau ajaran sesat yang akan memecah belahkan masyarakat Islam.

Sejak beberapa tahun lalu pelbagai ancaman menimpa umat Islam di Malaysia, namun ada pihak buat tidak tahu apabila perpecahan kecil akhirnya mengancam kedudukan agama dan bangsa.