Saturday 31 May 2014

Cubaan bunuh keluarga Maarof

Kes bunuh pengasas bank Melayu:

Mustapha cerita detik cemas 10 bulan sebelum bapa ditemui mati digantung
Keluarga pengasas Malay National Bank, Allahyarham Maarof Zakaria pernah cuba dibunuh sekumpulan lelaki bersenjata api ketika mereka berpindah ke kediaman baharu di Taman Seputeh, Jalan Klang Lama, pada awal tahun 1947.

Kejadian itu berlaku kira-kira 10 bulan sebelum Maarof ditemui mati digantung pada sebatang pokok di hutan berhampiran Batu 13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong, Pahang pada 7 Disember 1947.

Mengimbau detik ngeri itu, anaknya, Datuk Mustapha Maarof akur, kejadian itu meninggalkan trauma mendalam pada dirinya sehingga hari ini, tetapi bersyukur kerana terselamat dalam cubaan bunuh berkenaan.

Ketika itu, Maarof, seorang peguam kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan dikatakan baharu membeli sebidang tanah dusun dianggarkan seluas 0.8 hektar di kawasan bukit yang mempunyai dua unit rumah setingkat, terletak berhampiran Sekolah Melayu Seputeh (kini SK Taman Bukit Desa).