Friday 18 December 2015

Samad Kinto ~ Drebar Jadi Jutawan

Tengah hari kelmarin, saya terserempak dengan Samad Kinto di sebuah kedai mamak di Sungai Buloh. Kalaulah lelaki berusia 45 tahun itu benda, saya boleh anggap dia adalah benda ajaib yang kelapan di dunia.

Tetapi oleh kerana Samad orang, manusia seperti kita, dia tidaklah boleh dianggap sebegitu ajaib kerana ramai lagi orang yang lebih ajaib berbanding dia. Malah ada orang yang keajaibannya jauh lebih power berbanding Samad kerana berupaya mendapat derma berbilion ringgit daripada orang lain.

Apa pun, bagi saya Samad Kinto tetap seorang yang ajaib.

Sepanjang hidupnya, Samad yang bersekolah setakat tingkatan lima dengan keputusan SPM gagal Bahasa Inggeris dan Matematik pernah bekerja sebagai pembantu kantin, pengangkat sampah, pemotong rumput, buruh binaan dan pembantu van. Pekerjaan paling selesa baginya sebelum ini ialah pemandu kepada seorang pengarah syarikat.

Itulah sumber rezekinya hingga dia berkahwin dan beranak-pinak.

Pada Jun 2008, Samad berhenti kerja pemandu setelah berkhidmat selama 10 tahun dengan gaji terakhir RM1,516. Ketika dia berhenti kerja, wang dalam akaun banknya hanya RM53.  

Namun ketika berjumpa saya kelmarin, Samad bercerita mengenai kehidupannya sekarang – hanya sesudah kira-kira tujuh tahun dia berhenti kerja  – bahawa dia ada membeli beberapa hartanah yang nilai kesemuanya mencecah jutaan ringgit.

Tidak. Samad tidak dapat derma daripada sesiapa. Dengan bahasa Inggeris SPM gagal, Samad tidak berkawan dengan mana-mana bilioner Timur Tengah untuk mendapat  derma sebanyak itu.

Sebenarnya, sejak berhenti kerja, dia bersungguh-sungguh menjalankan perniagaan dari rumah hingga bisnesnya naik sedikit demi sedikit. Komitmen, kreativiti dan kebijaksanaan membawa peningkatan usaha Samad pada kadar yang agak pantas.

Dia menjadi begitu nekad kerana ada dua pengalaman mengubah hidupnya untuk jadi seperti sekarang. Kali pertama pada 2003, dia ditinggalkan kekasihnya hanya kerana dia bergaji kecil dan tidak mempunyai simpanan. Sementelahan pula keluarga gadis itu turut menolak dirinya mentah-mentah.

Kali kedua, di penghujung kariernya sebagai pemandu, Samad berniaga sambilan – beli telefon rosak, baiki dan jual semula. Ketika itu, dia berkenalan dengan Uncle Lim, pakar baiki telefon.

Kali pertama ke rumah Uncle Lim pada suatu malam, Samad terperanggah melihat kediaman lelaki itu yang sangat mewah sedangkan Uncle Lim yang dikenalinya sering berseluar pendek dengan baju pagoda sahaja, langsung tidak nampak ciri-ciri orang kaya.

Malam itu, Uncle Lim - seorang kurang upaya - mengenakan caj RM400 untuk baiki telefon yang dibawa Samad hanya dalam masa lima minit. Insiden itu mengajar Samad bahawa untuk kaya, kita harus cari sebab untuk orang membayar kepada kita.

Apabila kita berjaya mencipta sebab untuk dibayar oleh orang lain, itu adalah jalan untuk menuju kekayaan. Lebih banyak sebab adalah lebih baik, Lagi bernilai sebab yang dicipta, lagi tinggi bayaran diterima, dan itu juga akan menjadikan diri kita lebih bernilai dengan kepakaran yang ada untuk mendapat lebih banyak wang.

Sejak itu, Samad tidak menoleh ke belakang lagi dan dia bekerja keras untuk mencapai taraf jutawan yang dimilikinya sekarang.

“Dulu, aku selalu fikir… dengan sijil SPM pun tak berapa nak lepas, takdir hidup aku yang paling baik adalah jadi driver sampai mati, ada gaji tetap. Lepas 10 tahun aku kerja, gaji pokok aku RM1,516. Itu gaji mati, maksimum kau tahu.  

“Hanya jika kita sendiri mengatakan sesuatu kejayaan itu adalah mustahil, maka ia akan benar-benar jadi mustahil. Tetapi aku, seorang driver telah jumpa jalan untuk berubah daripada kuli kepada tauke, daripada orang yang selalu tak cukup duit kepada jutawan.

Sebenarnya dalam hidup, tidak ada yang mustahil kalau kita benar-benar ada kemahuan,” katanya lagi sambil menghulurkan buku motivasinya yang terbaharu.

Uniknya perniagaan Samad, dia tidak mempunyai pejabat. Dikenali dalam kalangan pelanggan dan rakan-rakan sebagai ‘Pakar Bisnes Dari Rumah’ Samad menjalankan perniagaan melalui telefon dan media sosial.

Daripada situ, pertemuan dengan pelanggan diatur di mana sahaja, kafe, kelab atau di tepi jalan. Dia juga kini aktif menurunkan ilmu-ilmu perniagaannya menerusi ceramah dan juga penulisan. Dia mahu setiap orang yang pernah anggap diri gagal dalam hidup sepertinya, berubah 360 darjah untuk jadi jutawan.

Petang semalam, Samad terbang bersama isterinya ke luar negara untuk berbulan madu entah kali yang ke berapa!

Monday 23 November 2015

Perbezaan Diantara Ketua Dengan Pemimpin

Menggunakan orang (memerah tenaga/mental/fizikal) secara maksimum untuk mendapatkan hasil/keuntungan yang maksimum tanpa memikirkan kebajikan orang, itulah sikap seorang ketua. Suka mengungkit kesilapan orang berkali-kali hingga tidak nampak langsung kebaikan orang kepadanya. Apabila orang melakukan kebaikan, berat mulutnya untuk memuji dan berterima kasih, tetapi dia sendiri sentiasa mengharapkan orang memuji, memberi penghargaan, dan menyebut serta mengenang kebaikannya. Dia adalah pendesak, yang hanya tahu menyampaikan maksud dan tujuannya tanpa mengambil kira keadaan orang yang didesaknya. Yang difikirkannya berapa banyak yang boleh dia dapat manfaat daripada orang sekelilingnya, bukan berapa banyak manfaat yang mampu diberikannya.

Tetapi, seorang pemimpin dia menjadi ‘pemberi inspirasi’ kepada orang. Mendahului kawalan emosi; dengan memberikan sebanyak mungkin kasih sayang dan menanamkan kepercayaan orang sekeliling terhadap dirinya. Dia mempercayai, dengan kasih sayang dapat menyelesaikan semua masalah, kerana orang akan mendengar kata atau nasihat orang yang disayanginya sahaja.

Seorang ketua dia adalah seorang yang ‘mahukan penghormatan’, tetapi seorang pemimpin dia ‘mendapatkan penghormatan’. Apakah perbezaannya antara ‘mahukan penghormatan’ dengan ‘mendapat penghormatan’?. Orang yang sentiasa berasa dirinya penting ialah orang yang mengharapkan atau ‘mahukan penghormatan’ dan dia tidak perlu berusaha mendapatkan penghormatan itu, kerana dia berasa itu haknya sebagai ketua. Dia akan marah jika orang tidak menghormatinya dan tidak tahu dia sebagai ketua.

Tetapi, pemimpin ialah orang yang ‘mendapatkan penghormatan’. Dia akan berusaha berbuat sesuatu yang bermanfaat kepada orang sekelilingnya dengan ikhlas, dan menerima hakikat penghormatan itu bukan hak hakikinya. Dia tidak mengharapkan penghormatan dan yang diharapkannya ialah reda Allah SWT. Sekiranya dia berjaya ‘mendapat penghormatan’, itu satu respons positif yang diperolehnya hasil daripada tindakan positifnya. 

Seorang ketua, dia suka orang takut kepadanya. Dia akan menggunakan kuasanya menggertak atau mengugut orang, akan memberikan hukuman dan menarik segala hak yang patut diperoleh orang sekelilingnya, jika enggan patuh kepada arahannya. Dia juga akan ‘menakutkan orang/menimbulkan rasa takut orang sekeliling terhadap sesuatu perkara’.

Seorang pemimpin dia memudahkan, membahagiakan orang dan membangkitkan semangat orang sekelilingnya. Memandang orang bukan sahaja dengan pandangan mata akal, tetapi menggunakan mata hati. Keprihatinannya amat tinggi; sedih melihat orang sedih dan bahagia melihat orang bahagia dan ‘menjadikan inspirasi untuk mewujudkan semangat yang bergelora dan minat yang mendalam’.

Seorang ketua, ‘meletakkan salah kepada orang lain’, tetapi seorang pemimpin dia ‘memikul kesalahan’. Seorang ketua suka menyalahkan dan mencari kesalahan. Tidak suka melakukan refleksi diri sendiri atau muhasabah diri, tetapi suka menunjukkan kesalahan orang lain yang menyebabkan sesuatu kegagalan.

Tetapi, seorang pemimpin dia akan mengambil tanggungjawab dan sanggup mengambil risiko memikul kesalahan di atas bahunya sendiri, dia yang memberikan penghargaan dan memuji. Sangat baik hati dan pemurah hati untuk memberikan sesuatu kepada orang sebagai tanda dia berterima kasih dan mengenang serta menghargai jasa baik orang kepadanya.

Jadilah seorang ‘pemimpin’ bukan seorang ‘ketua’. Tidak kiralah apa pun posisi kita sebagai pemimpin (sama ada sebagai suami, ayah, ibu, atau ketua dalam satu-satu jabatan, organisasi, atau negara), jadilah pemimpin yang dapat memberikan manfaat kepada orang sekeliling kita.

Amalkan sikap; mempermudahkan urusan bukan menyusahkan urusan dengan orang sekeliling. Banyak orang boleh menjadi ketua, tetapi tidak ramai yang mampu menjadi pemimpin. Inilah perbezaan antara ketua dengan pemimpin.

Sunday 22 November 2015

ISTINGGAR

Istinggar (bahasa Inggeris: matchlock) atau Senapang Kancing Sumbu pada awalnya ialah sejenis senjata api jenis berat dengan penggunaan fius atau Wheel Lock. Kemudian ia menjadi sejenis senapang yang menggunakan teknologi Flintlock (kancing batu api). Penggunaan Flintlock ini meningkatkan kadar tembakan dan mengurangkan kos pembuatan senjata api. Mula diketahui pada 1630 dan dikenali sebagai Flintlock Musket, istinggar dengan pantas menggantikan teknologi picu senjata api lebih awal, seperti mekanisma kancing sumbu (matchlock) dan kancing roda (wheel lock).

Istinggar juga kerap disebut di dalam hikayat-hikayat lama seperti Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan juga Hikayat Megat Terawis. Dalam Hikayat Megat Terawis, dikatakan bahawa Megat telah berjaya membunuh seorang hulubalang yang kebal dan hebat bernama Tun Saban. Tun Saban dikatakan sebagai seorang yang tidak lut kepada segala jenis senjata kecuali istinggar yang dibuat khas pelurunya. Istinggar yang digunakan untuk membunuh Tun Saban dikatakan adalah hadiah daripada ulama dari Hadramaut kepada Raja Pagaruyung.

Istinggar juga digunakan oleh tentera Johor-Riau terutama ketika membantu Belanda menyerang Portugis.Istinggar juga digunakan oleh penduduk di Perak ketika menyerang Belanda yang membina loji-loji di Sungai Perak. Dikatakan juga orang Minangkabau adalah pakar dalam pembuatan logam terutama besi dan tembaga untuk membuat senjata api seperti senapang dan meriam, lebih lama sebelum kedatangan tentera penceroboh Eropah ke Nusantara ini.

Ketika Portugis menawan Melaka, tentera Portugis telah merampas beberapa ribu senjata api (bukan keris) milik tentera Melaka. Dianggarkan sekitar 30,000 senjata api telah dirampas , dimana 8,000 daripadanya adalah senjata berat atau senjata pemusnah (Weapon of Mass Destruction) pada ketika itu. Antara senjata api yang digunakan oleh tentera Melaka pada ketika itu ialah Senapang (Istinggar) dan Meriam. Istinggar inilah yang dikumpulkan terlalu banyak di dalam kota Melaka oleh tentera-tentera Portugis.

Beberapa laras senapang ini telah di bawa oleh tentera Portugis ke Jepun. Dari senapang milik tentera Melaka inilah, Jepun mula mencipta senapang mereka sendiri selepas meniru teknologi senapang tentera Melaka. Menurut sumber, dahulu Jepun mengamalkan 'Dasar Pandang ke Barat' iaitu Tanah Melayu.

Di mana beribu-ribu senapang milik tentera Melaka itu pada masa kini? Pada 6 Oktober 2011 bertempat di Art of the Islamic and Indian World, King Street, London. Beberapa laras senapang milik Panglima Melayu tahun 1800an telah dilelong, mencapai harga sekitar RM35,000. Berapakah nilai senapang Melayu tahun 1500an?, mungkin ratusan ribu atau jutaan ringgit.

Sumber :
1) http://en.wikipedia.org/wiki/Capture_of_Malacca_(1511)
2) http://bjbrigedkibaranbendera.blogspot.my
3) http://susurgalor.blogspot.com
4) Political and Statistical Account of the British Settlement in the Straits of Malacca by Thomas John Newbold
5) The Golden Chersonese and the way Thither by Isabella L Bird

TERAKOL

Terakol atau Tarkul adalah antara senjata popular dikalangan pelaut, pedagang dan lanun-lanun Melayu. Tarkul pada awalnya menggunakan teknologi 'wheel lock' (kancing roda) di mana kemajuan teknologi ini membolehkan ia membakar serbuk bedil secara automatik tanpa memerlukan 'fius'. Terakol berbentuk seperti pistol dan ia adalah perubahan bentuk dari Pemuras yang dikecilkan. Terakol digunakan di dalam peperangan Rajah, Datu dan Sultan-Sultan di Filipina melawan Sepanyol, juga askar Brunei menentang Rajah Brooke.

Terakol juga digunakan di Patani dan Melaka. Dalam Perang Naning juga senjata ini digunakan. Sekitar tahun 1530, Terakol telah menjadi maju dengan penggunaan teknologi flintlock (kancing batu api) dan sejak itu ia lebih dikenali sebagai pistol di Barat.

Ketua Lanun, Laksamana dan Syahbandar Melayu sering bergaya menyelitkan Terakol ini di pinggang bersama-sama keris mereka.

Sumber : http://riwayatmelayu.blogspot.my

Wednesday 18 November 2015

Kapsul Masa Manuskrip Tulisan Jawi Belum Dikaji

Jika kita perhalusi, terdapat 4,600 manuskrip Jawi pelbagai bidang dalam simpanan Perpustakaan Negara. Ini adalah 'National Treasure' yang amat-amat bernilai. Bayangkan ketika zaman kolonial, yang mana generasi sekarang dimomokkan dengan klies bahawa ketika itu zaman kemunduran, buta huruf dan seribu satu 'negative connotation', tiba-tiba ada beribu-ribu manuskrip yang meliputi pelbagai bidang seolah-olah tiba-tiba muncul dari 'black hole'.

Belum lagi termasuk yang dijual kepada 'Indiana Jones' dan dimuatkan ke dalam kapal The Fame. Menurut Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu UKM, terdapat 10,000 - 15,000 judul manuskrip yang bertulisan Jawi lama di 151 buah perpustakaan, arkib dan muzium di sekitar 28 buah negara di seluruh dunia. Sehingga kini lebih kurang 5% daripadanya telah dikaji, bakinya 95% lagi masih belum dikaji dan tidak diketahui isinya.

Koleksi manuskrip ini dikumpulkan sejak 30 tahun lalu, iaitu ketika penubuhan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu PNM pada tahun 1985.

Manuskrip ini merakamkan ketamadunan Melayu dan khazanah keilmuannya yang berharga untuk diketengahkan khususnya kepada orang Melayu.

Ini adalah sesuatu yang menarik. Sebuah madrasah di Selatan Thailand juga ditemui manuskrip-manuskrip Melayu dalam tulisan Jawi yang merangkumi pelbagai disiplin ilmu dan dikhabarkan oleh seorang pelajar pondok itu bahawa semua manuskrip itu kini dalam perhatian kerajaan Turki.

Selepas zaman prasasti, tepatnya ketika zaman Islam, masyarakat Melayu Nusantara bergiat cergas dalam penulisan dan persuratan. Ini baru yang sempat diselamatkan. Bagaimana dengan yang musnah ketika bencana dan peperangan. Sudah tentu menaikkan statistik beribu-ribu lagi manuskrip.

Saya amat berharap penemuan baharu yang ditemui daripada manuskrip ini dapat memanfaatkan masyarakat khususnya generasi moden hari ini.

Thursday 29 October 2015

Kedaulatan Tanah Melayu

http://www.militaryofmalaysia.net/2014/08/kedaulatan-tanah-melayu-lawan-sihir/

Friday 28 August 2015

#sehatisejiwa

Pada tahun ini juga buat pertama kali sambutan Hari Kebangsaan tidak akan menyebut ulang tahun kali ke berapa sebaliknya hanya dikenali sebagai sambutan Hari Kebangsaan 2015 kerana kita mahu merapatkan hubungan antara rakyat tanpa mengira mereka dari Semenanjung, Sabah atau Sarawak.

Jika kita masih menyebut ulang tahun, ia hanya terarah kepada Semenanjung yang mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan rakyat Sabah dan Sarawak akan rasa ia tidak ada kaitan dengan mereka dan apabila ada berlaku bencana atau kemalangan, ia mesti dirasakan bersama seluruh rakyat Malaysia, suka dan duka perlu dirasakan bersama dalam satu negara.

Wednesday 1 April 2015

Universiti Naungan Raja-Raja

Perbezaan UIM dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia adalah dari segi kumpulan sasar. UIM memberi fokus kepada penyelidikan di peringkat sarjana dan PhD. Universiti di bawah naungan Majlis Raja-Raja ini dilihat menjadi paksi yang berperanan mengukuhkan penyelidikan dalam pembangunan umat Islam dan negara-negara Islam seluruh dunia.

UIM memberi manfaat maksimum kepada umat Islam di Malaysia khususnya dalam bidang-bidang yang masih lagi tertinggal. Pada masa yang sama, hal ehwal umat Islam minoriti di Selatan Thailand, Selatan Filipina, Singapura, negara-negara di benua Afrika, China dan Eropah yang masih mundur dan ketinggalan dalam pendidikan tinggi wajar juga diberi perhatian supaya mereka dapat menyumbang kepada negara masing-masing.

Kesarjanaan dalam tamadun Islam telah mengangkat martabat umat Islam di Andalusia. Bidang penyelidikan diberi keutamaan untuk berkembang dan meneroka ke seluruh dunia. Khalifah sebagai pemimpin negara telah menyediakan bantuan dan galakan kepada umat Islam untuk mendalami ilmu dalam pelbagai disiplin. Melalui peranan aktif ini, ilmu yang dipelopori tokoh-tokoh ilmuan Islam diiktiraf sehingga kini.

Permintaan daripada penyelidik-penyelidik bukan Islam untuk membuat kajian berkaitan kepentingan umat Islam wajar diberi perhatian supaya pemahaman masyarakat terhadap Islam semakin bertambah. Kini Universiti Islam Malaysia menjadi perhatian kepada para ilmuan di Malaysia dan menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan kepada umat Islam global.

Sepatutnya Tiada GST Dikenakan Pada Kad Pra-Bayar Oleh Para Pengusaha Syarikat Telekomunikasi

Walaupun perlaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang bermula hari ini belum sampai 24 jam, namun telah banyak reaksi negatif mengenainya telah diluahkan menerusi laman-laman sosial.

Ini termasuk rasa tidak berpuas hati pengguna dengan tindakan pengusaha syarikat telekomunikasi yang mengenakan GST terhadap kad pra-bayar walaupun ia sepatutnya dikecualikan GST.

Sementara itu Timbalan Menteri Kewangan dalam twitternya berkata, berlaku salah faham di antara syarikat telco dengan kerajaan.

"Surat kastam telah dihantar kepada syarikat telco tentang top-up pra-bayar sebelum ini. Tindakan susulan akan segera diambil agar diikuti arahan harganya", tulisnya.

Bermula hari ini, Malaysia menjadi negara kelapan dalam kalangan 10 negara Asean yang melaksanakan GST.

GST berkadar enam peratus menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus yang diguna pakai selama ini, merupakan kadar terendah dalam kalangan negara Asean.

Tuesday 31 March 2015

GST: Kuasa sebenarnya di tangan pengguna

Peniaga ada kuasa untuk menaikkan harga. Namun kita sebagai pengguna juga mempunyai kuasa untuk menyemak harga dan melaporkan penyelewengan atau pencatutan jika ada kepada pihak berkuasa.

Antara mahu dengan tidak mahu sahaja!

Adakah kita mahu menjadi pengguna bijak atau pengguna yang ‘dipijak’, yang ‘merelakan’ diri ditindas oleh para peniaga yang tidak bertanggungjawab, yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Sebagai pengguna bijak, kita boleh sahaja menyemak se­narai barangan yang tidak dikenakan GST, mempersoalkannya jika ada peniaga yang masih menaikkan harga barangan berkenaan, atau jika enggan ‘bertekak’ memilih untuk tidak membeli daripada peniaga terbabit.

Sebagai pengguna yang lebih bijak, kita boleh memuat turun aplikasi MyKira GST yang disediakan secara percuma oleh Kastam ke dalam telefon bimbit dan menyemak harga setiap kali kita berbelanja. Aplikasi mudah ini membolehkan kita sebagai pengguna memasukkan maklumat barang untuk disemak harga semasa sama ada lebih tinggi daripada harga sebelum GST.

Dan lebih baik lagi, aplikasi cerdik ini membolehkan kita sebagai pengguna membuat aduan serta-merta sekiranya pekedai atau peniaga telah mengenakan caj berlebihan atau menaikkan harga sewenang-wenangnya atas alasan pelaksanaan GST.

Dengan aplikasi ini, pengguna sebenarnya mempunyai cara yang mudah untuk mengetahui sama ada mereka membayar lebih untuk sesuatu barangan itu berbanding sebelum GST dilaksanakan.

Pokok pangkalnya di tangan kita. Mahu menjadi pengguna bijak atau sebaliknya.

Adakah kita mahu terus-terusan ditipu peniaga? Apakah kita tidak kisah berebut-rebut membeli barang keperluan yang sebenarnya tidak dikenakan GST? Atau pun kita mahu termasuk dalam golongan pengguna yang menikmati faedah daripada pelaksanaannya?

Tepuk dada tanya selera!

Sunday 1 March 2015

Don't judge a book by its cover

Mereka yang suka belanja makan, bukan kerana mereka berharta tapi sebab mereka meletakkan persahabatan melebihi duit.

Mereka yang rajin bekerja, bukan kerana mereka tunjuk pandai tapi sebab mereka memahami maksud tanggungjawab.

Mereka yang memohon maaf dulu selepas pergaduhan, bukan kerana mereka salah tapi sebab mereka menghargai orang di sekeliling mereka.

Mereka yang sukarela membantu anda, bukan kerana mereka berhutang apa-apa tapi sebab mereka lihat anda sebagai seorang sahabat.

Janganlah sesekali kita lihat luaran sahaja dan menghukum orang lain tanpa memahami mereka dulu.

Friday 16 January 2015

Bukan salah menjadi kaya ~ ADAM A KADIR

Suatu hari saya berhenti hendak mengisi minyak. Alih-alih sebuah motosikal tiba-tiba berhenti di tepi pump dan dengan itu saya ternafi untuk kesegeraan.

Penunggang motor terus memasuki ruang kedai/kaunter. Lama saya menunggu. Mungkin dia membayar minyak dan membeli sesuatu. Saya tertanya: adakah dia sengaja membuatkan saya menunggu atau dia terlupa. Kemungkinan juga baris di dalam agak panjang. Pump-pump lain sudah dihuni.

“Saya dulu,” katanya, apabila tiba semula. “Hormatlah sikit.”

Meskipun itu satu tempelak daripada seorang berusia anak kepada seorang berusia bapa, saya menerima saja. Bukan budi yang baik untuk mencetuskan adegan di situ. Hanya saya agak kaget kerana begitu cepat dia mengisi: sebanyak RM2.

“Cepatnya,” terlompat saja dari mulut saya. Ini memandangkan begitu lama saya menunggu dan begitu cepat pengisian berakhir. Tercetus di hati saya: masa yang begitu lama diambil mungkin menafikan pemilik stesen itu RM200 jika dua tiga buah kereta berkesempatan mengisi minyak.

“Ya, saya miskin, awak kaya,” jawabnya menyindir.

Saya tidak terkata. Ini bukan tempatnya untuk berdebat tentang kemiskinan atau kekayaan.

“Bukan kerana dua ringgit awak miskin. Saya bukan kaya kerana ada kereta,” jawab saya.

Kekayaan sentiasa disebut apabila ekonomi diperkatakan. Apabila sejarah dan latar belakang dicerakinkan, kesimpulannya sentiasa terarah kepada satu hala: kebebasan atau liberalisme, tegasnya kebebasan bersyarat di bawah dasar dan undang-undang. Ketiadaan segalanya itu, kekayaan tidak dapat dikekalkan. Perbuatan negatif seperti rasuah, nepotisme dan kronisme akan menganai-anaikan kekayaan. Akhirnya kemiskinan  mengambil alih.  Lingkaran kemiskinan akan berputar semula.

Ambil jiran kita yang terdekat, Singapura, sebagai contoh. Disiplin yang digerakkan oleh Lee Kuan Yew membuatkan beberapa orang menteri dipenjarakan kerana rasuah atau salah laku yang melanggar undang-undang, dasar dan etika. Begitu juga apa yang dialami oleh sesetengah mereka dalam dunia bisnes dan korporat.

Segalanya itu menjadi satu mesej lantang yang mendisiplinkan rakyatnya. Dunia menjadi yakin. AS mendahului negara-negara lain meletak wang di Singapura sehingga ia menjadi pusat kewangan yang gah. Pada satu-satu masa tertentu, terdapat trilion dolar yang ditanganinya. Nilai wangnya yang dulu sama dengan Ringgit Malaysia, kini sudah lebih dua kali ganda. Itulah latar belakangnya mengapa tempat tanpa sumber alam ini menjadi kaya.

Disiplin yang dimaksudkan bukan saja dalam empat dinding bank tetapi juga dalam kamar mahkamah. Di satu pihak, bank berintegriti mengendalikan wang rakyat; di pihak lain, mahkamah tidak diragui integriti menghukum pesalah laku. Antara cara menghilangkan keraguan ialah mahkamah bukan saja kelihatan bebas tetapi benar-benar bebas. Tidak ada individu yang patut dianggap mengatasi mahkamah, terutama dalam pelantikan barisan hakim.

Boleh dikatakan tiap-tiap malam, lebih-lebih lagi pada Sabtu dan Ahad, orang-orang kaya berkeliaran di TV bermain bola untuk Bayern Munich, Barcelona, Manchester United, Ajax Amsterdam, Palermo, Real Madrid, Benfica, Zenit Petersberg, Galatasaray dan lain-lain. Selain itu semua ‘top 20’ dalam kalangan pemain tenis adalah juga orang-orang kaya, jika pendapatan sejuta dolar setahun menjadi ukurannya.

Untuk tergolong dalam kekayaan begitu, kebebasan mesti wujud. Undang-undang rasuah anti membeli permainan demi perjudian harus ada dan dilaksanakan dengan tegas. Ini adalah kebebasan daripada ancaman salah laku dan niat buruk. Jika tidak, penonton akan marah dan menjauhkan diri dari stadium, lantas kontrak liputan TV yang lumayan ditarik balik, pendapatan dari tiket tumpas, maka pintu bankrapsi terbuka luas. Darabkan ini berpuluh kali, nescaya hiburan kaki bola di kedai-kedai mamak hingga larut malam akan pupus begitu saja.

Dan mamak kerugian bisnes! Nescaya segala pemain kaya yang sentiasa berkeliaran di padang itu akan hanyut ke dalam destinasinya sendiri.

Tentunya apa yang diperkatakan di atas boleh dipanjangkan ke dalam lapangan lain. Wang yang mengayakan pemain bola dan tenis itu samalah juga dengan wang yang mengayakan orang lain. Undang-undanglah sebenarnya mewajarkan kekayaan mereka.  Tanpa integriti undang-undang, kewajaran itu hilang, justeru tahap keyakinan akan tergugat.

Dengan kata lain, di situlah letaknya jaminan kebebasan mencari pendapatan – justeru kekayaan. Di sini, kebebasan demikian boleh melonjakkan pemain-pemain kita dalam kelas kekayaan begitu, demi masa. Kebebasan ini menjadi nyata apabila ia disulam dengan kebebasan mahkamah.

Jikalau begitulah halnya, maka bukanlah salah menjadi kaya. Orakan ke arah itu patut menjadi matlamat semua.

 * Tan Sri Adam A. Kadir adalah mantan Presiden Senat

Monday 5 January 2015

Zaharin Mohd Yasin ~ Pertemuan empat mata yang tidak dirancang

Beliau merupakan seorang veteran UMNO bahagian, juga seorang blogger UMNO dengan mengunakan nama blog Sang Kelembai. Penulisan beliau agak rasional dan berfakta, menarik untuk dibaca serta penuh dengan kontrovensi, tidak seperti beberapa bloggers lain yang menulis tanpa fakta dan ilmu. Penulisan beliau banyak tertumpu ke arah politik semasa dalam memastikan misi dan visi negara tercapai.

Dinasihatkan oleh "Lord Francis Bacon" kepada pembaca: "Jangan membaca untuk menafikan, menggelirukan atau mempercayai dan menerima bulat atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai". (Tulisan dipetik dari status blog Sang Kelembai)

Saya sebagai orang baru didalam dunia blogger ini sentiasa mengikuti posting  Zaharin dan terima kasih diatas pandangan tuan. Semoga beliau sihat sejahtera agar dapat terus berjuang menghentam Pakatan Rakyat serta para pengkhianat didalam kerajaan, dan saya agak teruja kerana beliau tiada menunjukkan tanda-tanda akan berhenti setakat ini.

Saturday 3 January 2015

Khatamun Nubuwwah


بِسْمِ اﷲِالرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم

1- Khatamun bermaksud penutup, Nubuwwah ialah kenabian. Nabi SAW dicap dengan cap Khatmun Nubuwwah. Hikmahnya untuk menentukan bahawa nabi SAW itu yang menyudahi segala nabi dan rasul.

2- Maksud khatamun nubuwwah ialah, nabi yang penghabisan/terakhir. Maksudnya nama yang penghabisan menurut sejarah ialah nabi Muhammad SAW. Orang Islam dikehendaki mengamalkan sifat dan akhlak mulia yang ditinggalkan oleh baginda. Di samping itu kita juga dikehendaki memperbanyakkan zikir/ingat Allah dan berselawat kepada Nabi SAW.

3- Perkara ini tidak ada kaitan dengan perhiasan di dalam rumah, apa yang penting kita cuba amalkan sifat dan akhlak mulia baginda sepanjang hayat. Di samping itu kita diminta menghidupkan suasana islam di dalam rumah seperti memberi salam, berpakaian secara islam (tidak dedahkan aurat), solat jemaah, membaca al-Quran, membaca doa sebelum dan sesudah makan dan seumpamanya. Insya'Allah jika kita mampu amalkan ia akan dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.