Wednesday 1 October 2014

Subsidi RON95 & Diesel: Sedikit penjelasan.

1. Selama ini rakyat Malaysia sama ada yang kaya, sederhana dan berpendapatan rendah mendapat subsidi RON95 dan diesel, tapi ramai yang kurang sedar kewujudan subsidi itu walau ada dimaklumkan di stesyen-stesyen minyak.

2. Jumlah subsidi kerajaan untuk RON95 dan diesel pada tahun lepas sahaja ialah RM24.8 billion dan tahun ini sekitar RM21-22 billion. Purata RM2 billion sebulan! Ini kerana ketika minyak tinggi harganya, subsidi seliter adalah juga tinggi antara 50-80 sen seliter.

3. Bila ditarik subsidi 20 sen, maka RON95 berharga 2.30 seliter dan diesel 2.20 seliter. Harga terkini sebenar di pasaran untuk RON95 ialah 2.58 seliter, tapi harga Malaysia 2.30. Bermakna kerajaan masih beri 28 sen seliter subsidi. Untuk diesel pula harga terkini sebenar 2.52. Harga Malaysia 2.20. Bermakna 32 sen masih lagi diberi subsidi oleh Kerajaan.

4. Hampir RM2 ribu juta sebulan dibelanjakan untuk subsidi bahan bakar yang tentunya "hangus terbakar". RM2 ribu juta boleh bina 2 ribu dewan orang ramai di 2 ribu kampung dengan harga RM1 juta sebuah dewan. Boleh bina 4 universiti sebulan dengan harga RM500 juta sebuah. (48 universiti setahun!) Boleh bina 2 ribu kilometer jalan kampung untuk Sabah dan  Sarawak. Tapi semuanya tak boleh dibuat sebab kita beri subsidi untuk RON95 dan diesel.

5. Siapakah penerima terbesar subsidi RM2 billion sebulan itu? Data yang ada mendapati 70% diguna oleh mereka yang berpendapatan tinggi dan sederhana tinggi. Sebabnya mereka miliki lebih banyak kenderaan dan kuasa atau CC kereta lebih besar. Rakyat di kampung-kampung dan  pinggir-pinggir bandar hanya guna motorsikal dan kereta-kerta yang kecil.

6. Subsidi sepatutnya diberi kepada mereka yang miskin bukan kepada yang kaya. Jadi subsidi diesel dan petrol ini telah sekian lama tersasar. Ini adalah tidak adil dan tidak rasional. Dulu ketika minyak murah dan kenderaan tidak sebanyak kini, subsidi minyak cuma RM2 billion sebulan yang kini RM2 billion sebulan. Semakin kecillah peruntukan kepada rakyat yang boleh diberikan.

7. Maka untuk lebih adil,  subsidi minyak itu perlu dikurangkan. Penjimatannya boleh diberi kepada rakyat yang lebih layak. Pengurangan subsidi 20 sen sebelum ini berjumlah RM4 billion dan diberi dalam bentuk BR1M yang telah menafaatkan hampir 7 juta rakyat dan keluarga di negara ini.

8. Tentu rakyat sedang menunggu berita-berita baik yang akan diumumkan oleh YAB PM dalam Bajet 2015 pada 10/10/14 ini. Semuanya itu perlu kepada peruntukan yang banyak. Sebahagiannya tentu daripada subsidi minyak yang telah dijimatkan lagi sebanyak 20 sen seliter untuk faedah kepada ramai rakyat yang lebih memerlukan.

9. Malaysia memang negara pengeluar minyak, lebih kurang 600 ribu tong sehari. Minyak kita berkualiti tinggi, maka kita eksport dan dapat hasil yang lebih kepada negara. Arab Saudi dan USA lebih 1.7 juta tong sehari. Kita negara pengeluar yang ke-27 di dunia. Jadi minyak yang ada di stesyen minyak seluruh negara adalah diimport dan harganya mengikut pasaran dunia.

10. Memang sukar untuk membuat keputusan yang tidak popular. Tapi keputusan itu adalah untuk membetulkan ketidakadilan yang berlaku. Subsidi minyak yang banyak itu boleh diagih kepada rakyat dengan lebih bersasar dan tepat seperti BRIM yang lebih tinggi jumlahnya dan juga untuk pembangunan luar bandar yang lebih baik.

11. Rakyat di negara kita sekarang ini masih menikmati subsidi tepong, gas memasak, beras ST15, minyak masak, diesel, RON95, kesihatan dan perubatan, pendidikan, RM100 untuk anak sekolah, RM250 voucher buku. Untuk pesawah ada pelbagai subsidi padi, ada sara hidup nelayan RM200 sebulan, bantuan-bantuan JKM, Kedai Rakyat 1Malaysia dan lain-lain lagi.

12. Kebajikan yang banyak ini akan diteruskan, malahan akan sentiasa diperbaiki. Namun, untuk membetulkan ke arah yang lebih adil dan rasional, khususnya tentang subsidi minyak secara pukal yang tersasar itu, ianya memerlukan kefahaman dan kesabaran ramai serta melibatkan banyak pihak. Komitmen kepada kesejahteraan rakyat tetap menjadi keutamaan kerajaan.