Monday 11 April 2016

Kumpulan Perisik Dunia Menyamar Jadi Pelanggan Mossack Fonseca

BERLIN: Ejen perisikan dari pelbagai negara, termasuk yang menjadi ‘orang tengah’ kepada CIA, telah menggunakan khirmat firma perundangan Panama, Mossack Fonseca untuk ‘melindungi’ aktiviti mereka, lapor akhbar Jerman, Sueddeutsche Zeitung pada Selasa.

“Ejen rahsia dan pemberi maklumat mereka telah secara berleluasa menggunakan perkhidmatan firma itu,” lapor akhbar itu mengenai 11.5 juta dokumen yang telah bocor hingga menggemparkan dunia.

Tambah akhbar itu lagi, seperti yang dilaporkan AFP, ‘ejen perisik telah menggunakan syarikat yang tidak lagi aktif untuk menyembunyikan aktiviti mereka. Antaranya adalah pihak yang mempunyai kaitan dengan CIA’.

Akhbar yang berpangkalan di Munich itu menyatakan bahawa pelanggan Mossack Fonseca adalah termasuk beberapa ‘pemain’ dalam skandal Iran-Contra 1980-an, yang menyaksikan pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) mengendalikan jualan senjata kepada Iran dalam usaha membebaskan tebusan Amerika dan menaja pemberontak Contra Nicaragua.

Panama Papers juga mendedahkan ‘bekas pegawai tinggi dan pegawai semasa bagi pasukan perisik dari sekurang-kurangnya tiga negara iaitu Arab Saudi, Colombia dan Rwanda, tersenarai sebagai pelanggan Mossack Fonseca.

Antaranya ialah Sheikh Kamal Adham, bekas ketua perisikan Arab Saudi yang meninggal dunia pada 1999. Pada 1970-an, Sheikh Kamal bertindak sebagai salah seorang orang tengah penting bagi CIA, lapor akhbar itu.

Sueddeutsche Zeitung telah menerima banyak maklumat dari dokumen Mossack Fonseca, yang disampaikan oleh sumber yang tidak diketahui. Ia seterusnya telah dikongsi oleh lebih 100 kumpulan media melalui Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (ICIJ).

Seminggu selepas pendedahan pertama, dokumen-dokumen itu telah membongkar identiti golongan kaya dan berkuasa dari seluruh dunia yang menggunakan syarikat luar pesisir untuk menyimpan aset mereka.