Tuesday 31 March 2015

GST: Kuasa sebenarnya di tangan pengguna

Peniaga ada kuasa untuk menaikkan harga. Namun kita sebagai pengguna juga mempunyai kuasa untuk menyemak harga dan melaporkan penyelewengan atau pencatutan jika ada kepada pihak berkuasa.

Antara mahu dengan tidak mahu sahaja!

Adakah kita mahu menjadi pengguna bijak atau pengguna yang ‘dipijak’, yang ‘merelakan’ diri ditindas oleh para peniaga yang tidak bertanggungjawab, yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Sebagai pengguna bijak, kita boleh sahaja menyemak se­narai barangan yang tidak dikenakan GST, mempersoalkannya jika ada peniaga yang masih menaikkan harga barangan berkenaan, atau jika enggan ‘bertekak’ memilih untuk tidak membeli daripada peniaga terbabit.

Sebagai pengguna yang lebih bijak, kita boleh memuat turun aplikasi MyKira GST yang disediakan secara percuma oleh Kastam ke dalam telefon bimbit dan menyemak harga setiap kali kita berbelanja. Aplikasi mudah ini membolehkan kita sebagai pengguna memasukkan maklumat barang untuk disemak harga semasa sama ada lebih tinggi daripada harga sebelum GST.

Dan lebih baik lagi, aplikasi cerdik ini membolehkan kita sebagai pengguna membuat aduan serta-merta sekiranya pekedai atau peniaga telah mengenakan caj berlebihan atau menaikkan harga sewenang-wenangnya atas alasan pelaksanaan GST.

Dengan aplikasi ini, pengguna sebenarnya mempunyai cara yang mudah untuk mengetahui sama ada mereka membayar lebih untuk sesuatu barangan itu berbanding sebelum GST dilaksanakan.

Pokok pangkalnya di tangan kita. Mahu menjadi pengguna bijak atau sebaliknya.

Adakah kita mahu terus-terusan ditipu peniaga? Apakah kita tidak kisah berebut-rebut membeli barang keperluan yang sebenarnya tidak dikenakan GST? Atau pun kita mahu termasuk dalam golongan pengguna yang menikmati faedah daripada pelaksanaannya?

Tepuk dada tanya selera!

Sunday 1 March 2015

Don't judge a book by its cover

Mereka yang suka belanja makan, bukan kerana mereka berharta tapi sebab mereka meletakkan persahabatan melebihi duit.

Mereka yang rajin bekerja, bukan kerana mereka tunjuk pandai tapi sebab mereka memahami maksud tanggungjawab.

Mereka yang memohon maaf dulu selepas pergaduhan, bukan kerana mereka salah tapi sebab mereka menghargai orang di sekeliling mereka.

Mereka yang sukarela membantu anda, bukan kerana mereka berhutang apa-apa tapi sebab mereka lihat anda sebagai seorang sahabat.

Janganlah sesekali kita lihat luaran sahaja dan menghukum orang lain tanpa memahami mereka dulu.