Sunday 30 October 2016

Genius Tidak Semestinya Sempurna

Apabila menyebut mengenai genius, ramai yang melihatnya sebagai seseorang yang dianugerahkan Tuhan dengan kecerdikan dan keupayaan luar biasa terutama dalam pendidikan.

Kebanyakan mereka ini dikaitkan dengan kebijaksanaan dalam bidang pendidikan tertentu terutamanya matematik, fizik dan sains.

Bagaimanapun bukan semua dilahirkan genius dalam bidang-bidang yang dinyatakan tadi. Ada di antaranya sejak kecil lagi telah menjadi bijak dan mahir dalam bidang tertentu seperti muzik, seni lukis, sukan dan pelbagai lagi.

Mungkin ada yang menyokong bahawa seseorang itu dilahirkan sebagai genius dan kenyataan ini memang ada kebenarannya. Namun bukan semua manusia yang dilahirkan genius mengakhiri kehidupannya dengan kejayaan.

Hakikat ini dikongsi oleh saintis dan pencipta terkenal, Thomas Edison yang menyatakan, genius adalah satu peratus bersandarkan inspirasi manakala manakala 99 peratus lagi adalah bersandarkan usaha. (Genius is one percent inspiration, ninety nine percent perspiration).

Ungkapan ini telah tertulis dalam majalah Harper's Monthly Magazine edisi September 1932.

Sesungguhnya senarai manusia genius kini semakin meningkat mungkin kerana penekanan mengenai pentingnya pendidikan sejak kecil oleh ibu bapa. Di Malaysia juga fenomena manusia genius sering sahaja menarik perhatian.

Antaranya Mohd. Shukri Hadafi yang pernah menggemparkan negara sekitar 80-an berikutan kemampuannya membaca suratkhabar pada usia tiga tahun. Beliau pernah diambil berlakon oleh Tan Sri Jins Shamsuddin di dalam filemnya Menanti Hari Esok. Malah Prof. Diraja Ungku Aziz telah mengambilnya sebagai anak angkat bagi membolehkannya mendapat pendidikan yang lebih baik.

Bagaimanapun, kisahnya senyap begitu sahaja namun kemudian kita dikejutkan dengan berita pada akhir 90-an apabil beliau bekerja sebagai penebar roti canai serta beberapa kisah yang tidak enak didengar.

Selain itu kebanyakan kita begitu gembira mendengar seorang budak genius, Ady Putra Abdul Ghani mendapat perhatian luar biasa kerana kebolehannya menyelesaikan soalan matematik peringkat universiti.

Malah kita berbangga kerana impiannya adalah mahu bergelar profesor matematik Islam.

Bagaimanapun, berikutan dilemanya mengenai sistem pendidikan yang dikatakan kurang menyokong kemahirannya adalah ditakuti akhirnya bakat genius dan luar biasanya akan berakhir begitu sahaja tanpa sebarang makna.

Saturday 29 October 2016

Lebih baik Miskin Material Daripada Miskin Jiwa

Saban tahun setiap kali pembentangan bajet, golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan mengharapkan sesuatu yang menggembirakan hati mereka demi untuk merasai sedikit keselesaan dalam hidup. Namun apa yang menjadi harapan kadangkala tinggal harapan dan sukar untuk diterjemahkan kepada kenyataan.

Namun apakah itu boleh dianggap sebagai pengakhiran kepada sebuah harapan? Yang pasti sebagai bangsa yang pernah membina kecemerlangan tamadun pada awal kurun ke-16 perlu bangkit dan menganggap ini satu cabaran baharu untuk mereka. Inilah satu peluang keemasan untuk mereka bangun memajukan diri lalu membuktikan kekuatan dan kekayaan jiwa mereka meskipun tidak dan masih belum memiliki kekayaan material.

Tiada yang boleh menafikan bahawa kebanyakan orang Melayu miskin dari segi kewangan dan pemilikan harta. Setengah beranggapan bahawa faktor wang ringgit inilah yang menyebabkan seseorang itu mundur. Namun ingin dijelaskan bahawa kemiskinan seseorang itu bukanlah terletak kepada keupayaan memiliki wang atau harta benda sematamata sebaliknya lebih kepada pemilikan jiwa yang hebat berasaskan nilai murni tinggi.

Memang benar kemiskinan harta boleh menjadi rintangan, tetapi bukanlah penghalang. Jika ditelusuri kalangan mereka yang berjaya, ramai bermula dengan kesusahan. Meskipun lahir dalam keluarga susah, mereka tidak miskin jiwa sebaliknya terus mempunyai ketinggian dan semangat dalaman untuk bangkit dan mencipta kecemerlangan.

Tidak salah kiranya Presiden Abraham Lincoln diambil sebagai contoh dalam hal ini. Beliau yang tidak dapat meneruskan persekolahan kerana kemiskinan harta tidak menganggap itu sebagai penghalang namun dengan kekayaan jiwa yang dimiliki, menjadi pendorong utama untuknya menambah ilmu agar dapat membawa perubahan kepada kehidupannya. Beliau sanggup menunggang kuda sejauh enam batu untuk meminjam sebuah buku. Beliau membaca menggunakan cahaya lilin yang malap. Kesabaran dan ketekunannya akhirnya meletakkan beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Tradisi orang Scots yang meletakkan pelajaran sebagai keutamaan tidak dapat dinafikan. Walau bagaimana miskin harta sekalipun, apabila berdepan dengan soal pendidikan, mereka sanggup berjimat cermat dan berkorban demi memastikan aspek pendidikan dapat dijalankan dengan sempurna.

Banyak lagi bangsa yang meletakkan kemiskinan dan kepayahan sebagai satu cabaran dan bukannya halangan yang bersifat kekal.

Kemiskinan jiwa kebiasaannya didasari perasaan malas. Hal ini termasuklah malas berfikir, malas berusaha, malas belajar dan membaca, bersifat negatif dalam banyak perkara, tidak jelas tujuan hidup dan tidak berdisiplin.

Mungkin ada di antara kita bangsa Melayu yang agak sensitif apabila disinonimkan bangsa Melayu dengan sifat malas. Namun sebagai bangsa yang berjiwa besar, biar apa jua yang diperkatakan, yang penting adalah usaha untuk membuktikan tanggapan itu tidak tepat sama sekali.

Dengan kekuatan dan kekayaan jiwa yang dimiliki, mereka akan terus maju dan bersemangat untuk meneruskan kehidupan biarpun pelbagai cabaran yang mendatang, berbekalkan ajaran Islam yang menuntut umatnya untuk sabar dan terus berusaha dalam menghadapi sebarang cabaran atau ujian dan menganggapnya sebagai satu rahmat untuknya terus dekat dengan Pencipta yang memiliki sifat Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Islam juga dengan jelas menekankan bahawa segala cabaran dan ujian yang diberikan kepada hambaNya bukanlah untuk membinasakan tetapi lebih untuk melihat sejauh mana tahap kesabaran hambaNya untuk terus berusaha dan mengharapkan pertolongan hanya daripadaNya.

Persoalannya kini adakah bangsa Melayu sebahagian besarnya bersikap seperti itu ataupun sebaliknya. Dalam hal ini, tepuk dada dan tanyalah diri.

Dalam aspek kekeluargaan sebagai contoh, inilah peluang terbaik untuk suami dan isteri, juga ibu dan ayah sebagai ketua keluarga melihat semula cara hidup yang diamalkan sama ada ia mampu merubah mereka kepada sebuah kehidupan yang lebih baik ataupun sebaliknya.

Sekiranya mereka masih mengamalkan cara hidup 'cukuplah dengan apa yang ada', inilah masanya untuk bertukar kepada cara hidup yang menginginkan sesuatu yang lebih baik. Namun perlu diingatkan bahawa kail panjang sejengkal janganlah lautan hendak diduga. Dengan kata lain, usaha yang tidak seberapa jangan pula mengharapkan hasil yang banyak.

Justeru penggandaan usaha adalah sesuatu yang mesti dilakukan. Inilah yang ditekankan dalam Islam sebagai amal soleh, iaitu usaha ke arah kebaikan. Malahan inilah intipati makna ihsan, iaitu sentiasa inginkan sesuatu yang lebih baik, sama ada melakukan perkara yang lebih baik atau memiliki benda yang lebih baik.

Sebagai kesimpulannya, bangsa Melayu yang telah 57 tahun meraih kemerdekaan, ditambahi pula dengan kehebatan teknologi komunikasi yang ada pada hari ini, pastinya tiada alasan lagi untuk terus berada di bawah, khususnya di tanah air sendiri. Bangsa Melayu perlu terus bangkit dan jangan terus menggantungkan harapan mereka kepada orang lain.

Kemiskinan seharusnya dijadikan pendorong untuk mengejar kejayaan dan bukanlah penghalang. Kemiskinan material hanya bersifat sementara namun kemiskinan jiwa akan menjadikan seseorang itu terus kekal miskin material untuk selamanya.

Liberalisme Pluralisme

Pluralisme adalah pemikiran asing daripada Islam. Fahaman ini mudah bergerak dan berkembang di peringkat golongan elit dan pertengahan yang mencari-cari sesuatu yang berbeza dengan prinsip tradisi Islam. Pluralisme dilihat sebagai suatu ancaman terhadap keyakinan umat Islam hari ini. Bagaimanapun kita perlu melihatnya dari beberapa dimensi yang berbeza.

Mengapakah pluralisme bahaya kepada akidah ummah? Fahaman ini bahaya kerana menyamakan semua agama. Ia lahir akibat pengaruh sekularisme dan proses sekularisasi masyarakat Barat yang beragama Kristian. Fahaman ini percaya agama-agama di dunia hanya berbeza struktur luaran sahaja manakala dalamannya sama iaitu menuju tuhan yang satu. Fahaman ini dikatakan muncul sekitar abad ke-20 apabila seorang ahli teologi Kristian Erntroesch mengemukakan gagasan pluralisme dengan alasan bahawa di luar gereja ada juga keselamatan.

Sudah tentulah apabila kita melihat dari dimensi akidah Islam, pluralisme salah satu ciri kesesatan kerana ia produk sekular dan atheis. Dari dimensi pluralisme sememangnya pemikir dan pengikut tegar mereka cuba menjadikannya setaraf sebagai ideologi atau mendapat tempat di antara agama demi survivalnya. Penganut pemikiran ini berusaha mendapat tempat setaraf dengan agama-agama dunia padahal ia sekadar beberapa cebisan pemikiran dan ubah suai pendekatan agama-agama supaya kelihatan semua agama, kepercayaan atau sebarang ideologi adalah sama - iaitu masing-masing inginkan kebaikan dan kebajikan.

Kemungkinan besar konsep pluralisme tidak ditemui langsung dalam agama-agama lain tetapi cuba dijustifikasikan melalui pemikiran liberal yang sesat.

Tokoh-tokoh pembawa aliran pemikiran ini seperti Norcholis Majid dan Harun Nasution di Indonesia, Sayyed Hussin Nasr di Iran dan Hassan Hanafi di Mesir. Di Malaysia, ia masih menjadi tanda tanya walaupun perbincangan sekitar isu ini seringkali berlaku. Namun kita mampu mengesani individu-individu terbabit apabila kita memahami apa itu falsafah liberalisme dan sekularisme.

Apa yang berlaku di India melalui pendekatan agama baru, Din Ilahi boleh dijadikan contoh klasik yang ingin menyatukan kesemua agama. Walaupun sekian lama berlalu tetapi gerakan dan pengaruhnya terus tersebar sehingga ke hari ini. Unsur- unsur ini dapat disaksikan dalam filem Hindustan yang menyelitkan mesej dan lambang-lambang agama berbeza dalam susunan babak yang mempunyai tribulasi jalan cerita panjang. Itulah sebenarnya yang ingin disampaikan oleh pengarah-pengarah filem Bollywood.

Dalam konteks kekeluargaan, perkara ini juga jelas berlaku di Indonesia apabila satu keluarga menganut empat agama berbeza. Dalam sebuah keluarga ahlinya boleh menganut Islam, Kristian, Hindu atau Buddha. Pluralisme dalam satu unit keluarga terhasil daripada dasar Pancasila di Indonesia. Prinsip ini juga datang dari akar pemikiran sekular yang membuang sebarang kaitan agama dengan urusan dan peraturan duniawi.

Mengapa ini semua berlaku walaupun mereka sesetengahnya dianggap sangat terpelajar seperti Norkholis Majid, Harun Nasution, Kautsar Azhar dan Ulil Abshar di Indonesia? Mereka mengkaji dan memahami Islam samalah seperti penulis Barat, Karen Armstrong menulis A History of God dan John L.Espsito menulis Islam The Straight Path. Malahan John Burton berani menulis An Introduction to the Hadith, sebuah buku tentang hadis iaitu sumber rujukan kedua selepas al-Quran yang kebanyakan orang Islam sendiri sukar memahaminya. Mereka hanya melihat dan menilai dari sudut sosiologi agama, falsafah dan sejarah.

Agama itu hanyalah disandarkan kepada pembawanya seperti Sikh-Guru Nanak, Kristian-Isa, Yahudi-Musa, Buddha-Gautama Buddha, Hindu disandar kepada Mahatma Ghandi. Begitu juga mereka melihat Islam adalah pembawanya Muhammad.

Kebanyakan penulis barat menggunakan Muhammadisme, merujuk kepada Islam sebagai ideologi Muhammad. Itulah cara mereka berfikir dan meletakkan Islam sama seperti ideologi komunis dan Marxis atau sosialis. Jadi logiknya, sesiapa sahaja boleh memilih agama yang disukai. Sedangkan dengan tegas ajaran Islam menyatakan Muhammad itu Rasul dan utusan Allah bersifat ummi. Pemikiran pluralisme jelas apabila rata-rata menggunakan istilah agama Abrahamic merujuk kepada Yahudi, Kristian dan Islam dalam satu kelompok di bawah seruan Nabi Ibrahim. Lebih malang lagi ada yang menyenaraikan agama Bahai yang sesat dan jauh dari Islam itu di bawah satu kelompok yang sama di atas nama Abrahamic.

Dalam beberapa keadaan lain, pluralisme ini cenderung kepada mulhid kerana agama hanyalah isu kebudayaan yang datang daripada perkembangan dan ubah suai tamadun manusia. Wujud agama atau tuhan itu tidak memberi bekas kepada rasa fitrah manusia. Ertinya mereka cuba menolak setiap insan mencari penciptanya. Yang wujud hanyalah diri dan segala yang terjadi secara semula jadi, kebetulan dan tabiat alam semata-mata.

Tepat sekali bahawa pluralisme adalah buah yang datang dari sepohon pokok beracun sekular yang menurut mantan Mufti Mesir, Syeikh Atiyyah Saqr, sekularisme itu fahaman yang mencabut agama dalam medan kehidupan. Maka akhirnya tiada bezanya antara sekularisme dan pluralisme kerana kedua-duanya mempunyai prinsip kesesatan yang sama.

Kaedah inilah yang cuba dibawa dan diserasikan oleh pendukung liberalisme yang membawa kepada pluralisme. Tidak sukar untuk memahami mengapa ini terjadi terhadap orang seperti Norkholis, Harun, Ulil dan lainnya. Tidak mustahil perkara ini berlaku melalui pembentukan minda dengan pengajian dan pendedahan yang telah merubah persepsi mereka. Norkholis lulusan Universiti Chicago, Amerika Syarikat manakala Harun kelulusan Universiti Mc Grill, Kanada. Sayyed Hussin Nasr tidak begitu teruk fahaman pluralisme dan sekularismenya kerana kajiannya lebih kepada falsafah sains bahkan beliau seorang saintis tulen.

Kaedah-kaedah yang terbina dalam disiplin pengajian Islam sukar dipertikaikan oleh logik manusia ataupun ilmu moden. Sehinggakan dalam menentukan keabsahan maklumat dan fakta hatta penapisan maklumat dalam jaringan ICT hari ini sekalipun sudah terpakai dalam pengesanan riwayat hadis. Konsep kaedah ini tidak wujud dalam mana-mana agama dan doktrin dunia.

Malangnya Islam cuba dinilai, ditafsir dan dikritik secara bebas tanpa panduan disiplin ilmu seperti berlaku terhadap Kristian yang melahirkan mazhab Protestan. Apakah mereka boleh dilabel sebagai Muslim Protestan? Kristian dikritik dan ditolak oleh penganutnya sendiri disebabkan para paderi mentafsirkannya sebuah agama yang menolak sains dan paderi mengambil alih kerja tuhan sehingga boleh mengampunkan dosa pesalah. Maka lahirlah orang seperti Martin Luther yang mengkritik Kristian. Akhirnya mazhab Kristian Protestan ditolak oleh Kristian Katolik serta dianggap sesat.

Islam tidak sama dengan agama lain kerana yang menolak teras Islam dan mempertikaikannya akan menjejaskan akidah. Sebab itulah ulama banyak memperincikan kedudukan mereka yang mengalami krisis keyakinan dikategorikan sebagai murtad, kafir, musyrik dan munafik. Orang yang tidak menerimanya sebagai agama (al-Din) tetapi tidak menentangnya dinamakan zimmi, iaitu dilindungi dan dihormati dalam konteks sebuah negara. Islam sangat menggalakkan ijtihad, berfikir, analisis dan mengkaji bukan membuatnya secara bebas yang tidak terikat kaedah dan akidah yang boleh mengundang kesesatan.

Cara berfikir, pengajian dan kajian yang terlepas bebas daripada disiplin ilmu Islam bukan sahaja memberi kesan terhadap gambaran Islam, malah impaknya merebak dan mempengaruhi pengajian di universiti. Justeru ada universiti meletakkan Pengajian Islam itu setaraf dengan Pengajian Sastera. Ada juga universiti cuba menukar status sebuah fakulti pengajian Islam kepada hanya sebuah unit pengajian yang kecil kerana dianggap tidak bertaraf global. Terdapat juga universiti menamakannya sains wahyu dengan membuang pembahagian pengajian syariah, usuluddin dan dakwah yang dibina oleh tokoh-tokoh ulama silam.

Mereka melihat persoalan ketuhanan itu tiada bezanya dengan agama lain, sekadar kepercayaan yang boleh ditokok tambah mengikut selera dan kefahaman berdasarkan perubahan pemikiran masyarakat dan tamadun.

Sebenarnya untuk menjawab persoalan pluralisme dan eksklusifnya Islam telah ramai tokoh ulama terdahulu dan kemudian mengulas. Antaranya Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya ensiklopedia Majmu' Fatawa dan Wahbah Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir yang boleh diringkaskan dua perkara berikut:

Pertamanya, Muhammad pembawa nubuwwah dan risalah yang diterangkan sebelum ini oleh Musa dan Isa. Baginda diutus untuk ummah sejagat dan ialah rasul terakhir sebagai pelengkap. Pengutusannya merangkumi alam manusia dan jin, bangsa dan puak-puak di zamannya dan zaman-zaman seterusnya. Ini sekali gus membatalkan syariat para nabi dan rasul sebelumnya yang diutuskan kepada umat sezaman dan bangsa-bangsa tertentu sahaja.

Keduanya, menurut Ibnu Taimiyyah, Islam memperakui para nabi, rasul dan kitab-kitab mereka. Tetapi kitab mereka seperti Taurat, Zabur dan Injil telah diselewengkan. Sebab itulah versi kitab mereka boleh ditemui dalam pelbagai bahasa yang gagal dipastikan ketulenannya. Sedangkan al-Quran hanya satu versi dalam bahasa Arab walaupun para penganutnya dari pelbagai bangsa dunia yang berbeza bahasa.

Dua ciri tersebut ada pada Islam yang bersifat universal menyebabkan ia menjadi agama yang sangat eksklusif. Tidak boleh berkongsi sifatnya dengan agama lain, tunggal, serta tidak boleh berada setaraf dengan agama lain. Agama-agama tersebut sama ada dalam kelompok Samawi atau budaya. Malahan jauh sekali berbentuk doktrin, kepercayaan atau ideologi daripada tokoh pemimpin agama, politik, pengajian atau negarawan. Kesejagatan Islam telah menjangkau bangsa, bahasa, agama, geografi dan zaman.

Eksklusif dan unggulnya Islam sehingga memperakui kewujudan agama lain tetapi tetap menolak secara mutlak kebenarannya. Inilah keistimewaan Islam yang datang daripada Allah tanpa campur tangan manusia. Sebab itulah secara jelasnya Allah menegaskan bahawa sesungguhnya, al-Din (agama) itu hanyalah Islam... (Ali-'Imran:19). Wallahualam.

Friday 28 October 2016

Muzium Kapal Perang KD RAHMAT

Kapal perang KD RAHMAT telah dijadikan monumen sejarah setelah dilucutkan tauliah oleh Tentera Laut Diraja Malaysia pada tahun 2004 dan dijadikan muzium. Terletak di pesisiran pantai bertaraf dunia di Bandar Tentera Laut dan Maritim, Lumut, Perak (Markas Armada TLDM).

Pada penghujung tahun 1972, KD RAHMAT (nama asalnya KD HANG JEBAT), iaitu sebuah kapal kelas frigate yang dibina di Glasgow, Scotland pada tahun 1968, telah ditauliahkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia.

Frigate yang dilengkapi dengan enjin gas turbin itu memerlukan kemahiran anggota untuk mengendalinya. Persenjataannya adalah mengikut perkembangan teknologi di masa itu.

Tentera Laut Diraja Malaysia merupakan salah sebuah tentera laut yang pertama di rantau Asia Tenggara dilengkapi peluru berpandu SeaCat untuk menembak sasaran di udara.

Selain itu ia juga dilengkapi dengan roket Mortar MK 10 dan sonar yang terbaik untuk tujuan peperangan anti kapal selam.

Meriam yang dipasang berkaliber 4.5 inci boleh menembak sasaran di permukaan, sasaran udara dan juga dalam operasi Naval Gunfire Support (NGS).

Peralatan-peralatan lain termasuk sebuah radar pengawasan jarak jauh yang menjadikannya sebagai sebuah frigate yang serba boleh.