Sunday 27 November 2016

GERGASI DUNIA KETIGA DIGERUNI AMERIKA SYARIKAT

Bagai sudah menghidu garis akhir riwayatnya, bekas Presiden Cuba, Fidel Castro mengejutkan ramai orang apabila berbicara tentang kematiannya semasa ucapan penutupan kongres Parti Komunis Cuba, pada April 2016.

Dengan berpenampilan aneh sekadar memakai jaket atletik berwarna biru, Castro yang dilahirkan pada 13 Ogos 1926, pada masa itu berusia 89 tahun.

“Tak lama lagi saya akan berumur 90 tahun. Saya akan menjadi seperti semua manusia yang lain. Masa setiap orang akan tiba,” kata pemilik nama penuh Fidel Alejandro Castro Ruz itu dengan butir suara tua yang tegas.

Justeru pada tanggal 26 November 2016, ia menjadi nyata. Castro pada usia 90 tahun menghembuskan nafas terakhir di tanah airnya. Kematiannya diumumkan Presiden Cuba, Raul Castro, 84, yang juga adiknya.

Castro ialah ikon revolusi Cuba yang membangunkan sebuah negara komunis ‘di depan pintu’ AS, negara yang berjiran dengannya. Selama lima dekad pemerintahannya sebagai Perdana Menteri Cuba (1959-1976) diikuti Presiden Cuba (1976-2008) beliau berjaya menangkis usaha AS untuk menumbangkannya.

Pemimpin Revolusi Cuba 1959 itu bertanggungjawab mengguling diktator Cuba yang disokong AS, Fulgencio Batista. Beliau insan yang bertanggungjawab membawa fahaman komunisme ke Cuba.

Berhaluan politik Marxis Leninis, di bawah pemerintahannya Cuba menjadi sebuah negara sosialis satu parti. Masalah kesihatan iaitu sakit usus yang hampir meragut nyawanya sedekad lalu, kepimpinan seterusnya diserahkan kepada adiknya, Raul dua tahun kemudian.

Sosok lelaki berjanggut ini gigih dalam memperjuangkan prinsip hidupnya. Beliau tidak pernah takut untuk berdepan dengan sesiapapun dan negara apa pun. Prinsip hidup Castro yang keras dan tidak mahu tunduk kepada ekonomi dan politik AS inilah yang menyebabkan AS memandangnya sebagai satu ancaman.

Beliau adalah seorang pemimpin dunia yang lantang berkata: “Cuba adalah satu-satunya negara di dunia yang tidak memerlukan perdagangan dengan AS”.

Beliau amat dimusuhi AS dan pakatannya kerana cenderung kepada Kesatuan Soviet tetapi amat dikagumi oleh banyak gerakan sayap kiri di seluruh dunia terutama pejuang sosialis di Amerika Latin dan Afrika.

Pelbagai usaha telah dilakukan A.S untuk menjatuhkannya termasuk membunuhnya. Plot Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk membunuhnya dengan segala cara dari meletupkan karang-karangan laut sehinggalah penggunaan kulat yang boleh membawa maut.

Kerajaan AS dikatakan telah berbelanja sehingga mencecah bilion dolar untuk membunuh atau menjatuhkannya. AS juga menyekat hampir semua perdagangan dengan Cuba untuk melemahkan kerajaan negara kepulauan Caribbean itu.

Namun semuanya gagal dalam tempoh pentadbiran 11 pemimpin AS, dari Dwight Eisenhower sehinggalah ke Barack Obama.

BUTA POLITIK

Castro sebenarnya lahir dalam keluarga kaya. Bapanya, Angel Castro, seorang imigran dari Sepanyol ke Cuba sebelum menjadi pengusaha ladang tebu berjaya. Siapa sangka, Fidel Castro yang merupakan penuntut jurusan undang-undang di Universiti Havana ini pada awalnya mengakui dirinya buta politik.

Berang dengan kondisi sosial negaranya yang diperintah Batista yang berfahaman kapitalis, Castro telah melancarkan revolusi bermula 26 Julai 1953 tetapi gagal. Beliau dikenakan hukuman penjara 15 tahun tetapi dibebaskan pada tahun 1955.

Semasa hidup dalam buangan di Mexico, Castro mempersiapkan sepasukan kecil askar pemberontak untuk menentang Batista. Ahlinya termasuk pejuang revolusi Argentina, Ernesto Che Guevera sehingga berjaya menumbangkan Batista pada tahun 1959.

Pada awal pemerintahannya, semasa kemuncak Perang Dingin, Castro telah membuat pakatan dengan Kesatuan Soviet Union, untuk melindungi Kepulauan Caribbean.

Perikatannya itu mencetuskan Krisis Peluru Berpandu Cuba pada tahun 1962, konfrontasi 13 hari dengan AS sehingga dunia nyaris menyaksikan perang nuklear buat kali pertama.

Pentadbirannya mula terjejas sejak Kesatuan Soviet tersungkur pada tahun 1991. Ekonomi Cuba turut merudum selama bertahun-tahun. Krisis bekalan makanan, pengangkutan awam sehinggalah elektrik menyebabkan Cuba bergelap dalam jangka masa panjang.

Dibelenggu krisis ekonomi yang kronik, 11 juta populasi Cuba hidup dalam kesukaran.

Castro, satu nama besar yang kematiannya disambut dengan dua suasana di dunia waima rakyatnya sendiri. Rakyat Cuba di Havana menangisinya tetapi rakyatnya yang terbuang ke Florida, AS meraikannya dengan minuman champagne dan bergendang.

FIGURA REVOLUSI

Bakal Presiden A.S, Donald Trump menulis di akaun Twitternya: “Fidel Castro sudah mati!” dengan nada yang boleh dijangkakan.

Tribut dan takziah datang daripada negara-negara pakatannya termasuk Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Venezuela yang berhaluan sosialis Nicolas Maduro yang berkata penggerak-penggerak revolusi di dunia mesti mengikut legasinya.

Editor Al-Jazeera Amerika Latin, Lucia Newman berkata, Castro adalah satu figura yang memberi inspirasi kepada pergerakan revolusi di seluruh dunia, terutama di Amerika Latin.

“Kami tahu dia sakit sejak lebih kurang sedekad dan dia tidak kelihatan sejak Ogos selepas ulang tahun kelahirannya yang disambut di seluruh negara.

“Kematiannya akan memberi impak emosi yang besar kepada warga Cuba. Ia dirasakan seperti permulaan kepada pengakhiran era Castro,” kata Newman.

Seorang pelajar Cuba, Sariel Valdespino tidak dapat membendung kesedihannya.

“Saya sangat berduka. Apapun yang orang hendak katakan tentang dia, dia tetap seorang figura awam yang disanjungi dan disayangi,” katanya.

Penyokongnya menyifatkan beliau sebagai pembela rakyat miskin yang tidak pernah penat.

“Castro adalah gergasi Dunia Ketiga,” kata Agustin Diaz Cartaya, 85, yang menyertai Castro dalam serangan ke atas timur Cuba pada tahun 1953 untuk melancarkan revolusi.

“Tidak ada sesiapa yang menyumbang lebih banyak kepada Dunia Ketiga berbanding Fidel Castro,” katanya.

Pengkritik berkata, Castro membawa ke arah kehancuran ekonomi, menafikan kebebasan kepada 11 juta rakyat Cuba di negara itu dan memaksa lebih sejuta rakyatnya hidup dalam buangan di negara orang.

“Dalam tempoh 55 tahun sehingga kini, kerajaan Cuba tidak melakukan apa-apapun untuk membantu rakyat Cuba dalam aspek hak kemanusiaan,” kata bekas banduan politik, Hector Maseda, 72, yang tinggal di Havana. “Saya tidak percaya dengan rejim ini. Saya tidak mempercayainya.”

PERUBAHAN

Biarpun adiknya, Raul mengaguminya, namun Raul telah membuat perubahan pada Cuba sejak mengambil alih pemerintahan Castro.

Adiknya juga telah memperkenalkan pembaharuan ekonomi cara pasaran dan bersetuju dengan AS untuk memperbaharui ikatan diplomatik antara kedua-duanya pada Disember 2014.

Namun, di saat-saat akhir hayatnya, Castro tetap enggan menunjukkan sikap mahu bersahabat dengan AS. Beliau tidak bersua dengan Obama yang mencipta sejarah sebagai Presiden AS pertama menjejaki tanah Cuba sejak 1928 pada Mac lalu bahkan menyindir Obama sebagai hanya bercakap manis.

“Cuba tidak memerlukan apa-apa hadiah daripada AS,” ujarnya.

Ternyata Castro menunjukkan perwatakan seteru AS sejati.

Thursday 17 November 2016

Cinta Sebesar Zarah

Dikisahkan dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali bahawa pada suatu hari Nabi Isa a.s berjalan di hadapan seorang pemuda yang sedang menyiram air di kebun.

Bila pemuda yang sedang menyiram air itu melihat kepada Nabi Isa a.s berada di hadapannya maka dia pun berkata, “Wahai Nabi Isa a.s, kamu mintalah dari Tuhanmu agar Dia memberi kepadaku seberat zarah cintaku kepada-Nya.”

Berkata Nabi Isa a.s, “Wahai saudaraku, kamu tidak akan mampu untuk seberat zarah itu.”

Berkata pemuda itu lagi, “Wahai Isa a.s, kalau aku tidak mampu untuk satu zarah, maka kamu mintalah untukku setengah berat zarah.”

Oleh kerana keinginan pemuda itu untuk mendapatkan kecintaannya kepada Allah, maka Nabi Isa a.s pun berdoa, “Ya Tuhanku, berikanlah dia setengah berat zarah cintanya kepada-Mu.” Setelah Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun berlalu dari situ.

Selang beberapa lama Nabi Isa a.s datang lagi ke tempat pemuda yang memintanya berdoa, tetapi Nabi Isa a.s tidak dapat berjumpa dengan pemuda itu. Maka Nabi Isa a.s pun bertanya kepada orang yang lalu-lalang di tempat tersebut, dan berkata salah seorang yang berada di situ bahawa pemuda itu telah gila dan kini berada di atas gunung.

Setelah Nabi Isa a.s mendengar penjelasan orang itu maka beliau pun berdoa kepada Allah S.W.T, “Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang pemuda itu.”

Selesai Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun dapat melihat pemuda itu yang berada di antara gunung-gunung dan sedang duduk di atas sebuah batu besar, matanya memandang ke langit.

Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda itu dengan memberi salam, tetapi pemuda itu tidak menjawab salam Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa berkata, “Aku ini Isa a.s.”

Kemudian Allah S.W.T menurunkan wahyu yang berbunyi, “Wahai Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan manusia, sebab dalam hatinya itu terdapat kadar setengah berat zarah cintanya kepada-Ku. Demi Keagungan dan Keluhuran-Ku, kalau engkau memotongnya dengan gergaji sekalipun tentu dia tidak mengetahuinya.”

Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu.

1. Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia.

2. Orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal, tetapi dia ingin mendapat sanjungan dari manusia.

3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakannya, tetapi tidak berani merendahkan dirinya.

Rasulullah S.A.W bersabda, “Akan datang waktunya umatku akan mencintai lima dan lupa kepada yang lima :

1. Mereka cinta kepada dunia. Tetapi mereka lupa kepada akhirat.

2. Mereka cinta kepada harta benda. Tetapi mereka lupa kepada hisab.

3. Mereka cinta kepada makhluk. Tetapi mereka lupa kepada al- Khaliq.

4. Mereka cinta kepada dosa. Tetapi mereka lupa untuk bertaubat.

5. Mereka cinta kepada gedung-gedung mewah. Tetapi mereka lupa kepada kubur.”

Sunday 30 October 2016

Genius Tidak Semestinya Sempurna

Apabila menyebut mengenai genius, ramai yang melihatnya sebagai seseorang yang dianugerahkan Tuhan dengan kecerdikan dan keupayaan luar biasa terutama dalam pendidikan.

Kebanyakan mereka ini dikaitkan dengan kebijaksanaan dalam bidang pendidikan tertentu terutamanya matematik, fizik dan sains.

Bagaimanapun bukan semua dilahirkan genius dalam bidang-bidang yang dinyatakan tadi. Ada di antaranya sejak kecil lagi telah menjadi bijak dan mahir dalam bidang tertentu seperti muzik, seni lukis, sukan dan pelbagai lagi.

Mungkin ada yang menyokong bahawa seseorang itu dilahirkan sebagai genius dan kenyataan ini memang ada kebenarannya. Namun bukan semua manusia yang dilahirkan genius mengakhiri kehidupannya dengan kejayaan.

Hakikat ini dikongsi oleh saintis dan pencipta terkenal, Thomas Edison yang menyatakan, genius adalah satu peratus bersandarkan inspirasi manakala manakala 99 peratus lagi adalah bersandarkan usaha. (Genius is one percent inspiration, ninety nine percent perspiration).

Ungkapan ini telah tertulis dalam majalah Harper's Monthly Magazine edisi September 1932.

Sesungguhnya senarai manusia genius kini semakin meningkat mungkin kerana penekanan mengenai pentingnya pendidikan sejak kecil oleh ibu bapa. Di Malaysia juga fenomena manusia genius sering sahaja menarik perhatian.

Antaranya Mohd. Shukri Hadafi yang pernah menggemparkan negara sekitar 80-an berikutan kemampuannya membaca suratkhabar pada usia tiga tahun. Beliau pernah diambil berlakon oleh Tan Sri Jins Shamsuddin di dalam filemnya Menanti Hari Esok. Malah Prof. Diraja Ungku Aziz telah mengambilnya sebagai anak angkat bagi membolehkannya mendapat pendidikan yang lebih baik.

Bagaimanapun, kisahnya senyap begitu sahaja namun kemudian kita dikejutkan dengan berita pada akhir 90-an apabil beliau bekerja sebagai penebar roti canai serta beberapa kisah yang tidak enak didengar.

Selain itu kebanyakan kita begitu gembira mendengar seorang budak genius, Ady Putra Abdul Ghani mendapat perhatian luar biasa kerana kebolehannya menyelesaikan soalan matematik peringkat universiti.

Malah kita berbangga kerana impiannya adalah mahu bergelar profesor matematik Islam.

Bagaimanapun, berikutan dilemanya mengenai sistem pendidikan yang dikatakan kurang menyokong kemahirannya adalah ditakuti akhirnya bakat genius dan luar biasanya akan berakhir begitu sahaja tanpa sebarang makna.

Saturday 29 October 2016

Lebih baik Miskin Material Daripada Miskin Jiwa

Saban tahun setiap kali pembentangan bajet, golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan mengharapkan sesuatu yang menggembirakan hati mereka demi untuk merasai sedikit keselesaan dalam hidup. Namun apa yang menjadi harapan kadangkala tinggal harapan dan sukar untuk diterjemahkan kepada kenyataan.

Namun apakah itu boleh dianggap sebagai pengakhiran kepada sebuah harapan? Yang pasti sebagai bangsa yang pernah membina kecemerlangan tamadun pada awal kurun ke-16 perlu bangkit dan menganggap ini satu cabaran baharu untuk mereka. Inilah satu peluang keemasan untuk mereka bangun memajukan diri lalu membuktikan kekuatan dan kekayaan jiwa mereka meskipun tidak dan masih belum memiliki kekayaan material.

Tiada yang boleh menafikan bahawa kebanyakan orang Melayu miskin dari segi kewangan dan pemilikan harta. Setengah beranggapan bahawa faktor wang ringgit inilah yang menyebabkan seseorang itu mundur. Namun ingin dijelaskan bahawa kemiskinan seseorang itu bukanlah terletak kepada keupayaan memiliki wang atau harta benda sematamata sebaliknya lebih kepada pemilikan jiwa yang hebat berasaskan nilai murni tinggi.

Memang benar kemiskinan harta boleh menjadi rintangan, tetapi bukanlah penghalang. Jika ditelusuri kalangan mereka yang berjaya, ramai bermula dengan kesusahan. Meskipun lahir dalam keluarga susah, mereka tidak miskin jiwa sebaliknya terus mempunyai ketinggian dan semangat dalaman untuk bangkit dan mencipta kecemerlangan.

Tidak salah kiranya Presiden Abraham Lincoln diambil sebagai contoh dalam hal ini. Beliau yang tidak dapat meneruskan persekolahan kerana kemiskinan harta tidak menganggap itu sebagai penghalang namun dengan kekayaan jiwa yang dimiliki, menjadi pendorong utama untuknya menambah ilmu agar dapat membawa perubahan kepada kehidupannya. Beliau sanggup menunggang kuda sejauh enam batu untuk meminjam sebuah buku. Beliau membaca menggunakan cahaya lilin yang malap. Kesabaran dan ketekunannya akhirnya meletakkan beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Tradisi orang Scots yang meletakkan pelajaran sebagai keutamaan tidak dapat dinafikan. Walau bagaimana miskin harta sekalipun, apabila berdepan dengan soal pendidikan, mereka sanggup berjimat cermat dan berkorban demi memastikan aspek pendidikan dapat dijalankan dengan sempurna.

Banyak lagi bangsa yang meletakkan kemiskinan dan kepayahan sebagai satu cabaran dan bukannya halangan yang bersifat kekal.

Kemiskinan jiwa kebiasaannya didasari perasaan malas. Hal ini termasuklah malas berfikir, malas berusaha, malas belajar dan membaca, bersifat negatif dalam banyak perkara, tidak jelas tujuan hidup dan tidak berdisiplin.

Mungkin ada di antara kita bangsa Melayu yang agak sensitif apabila disinonimkan bangsa Melayu dengan sifat malas. Namun sebagai bangsa yang berjiwa besar, biar apa jua yang diperkatakan, yang penting adalah usaha untuk membuktikan tanggapan itu tidak tepat sama sekali.

Dengan kekuatan dan kekayaan jiwa yang dimiliki, mereka akan terus maju dan bersemangat untuk meneruskan kehidupan biarpun pelbagai cabaran yang mendatang, berbekalkan ajaran Islam yang menuntut umatnya untuk sabar dan terus berusaha dalam menghadapi sebarang cabaran atau ujian dan menganggapnya sebagai satu rahmat untuknya terus dekat dengan Pencipta yang memiliki sifat Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Islam juga dengan jelas menekankan bahawa segala cabaran dan ujian yang diberikan kepada hambaNya bukanlah untuk membinasakan tetapi lebih untuk melihat sejauh mana tahap kesabaran hambaNya untuk terus berusaha dan mengharapkan pertolongan hanya daripadaNya.

Persoalannya kini adakah bangsa Melayu sebahagian besarnya bersikap seperti itu ataupun sebaliknya. Dalam hal ini, tepuk dada dan tanyalah diri.

Dalam aspek kekeluargaan sebagai contoh, inilah peluang terbaik untuk suami dan isteri, juga ibu dan ayah sebagai ketua keluarga melihat semula cara hidup yang diamalkan sama ada ia mampu merubah mereka kepada sebuah kehidupan yang lebih baik ataupun sebaliknya.

Sekiranya mereka masih mengamalkan cara hidup 'cukuplah dengan apa yang ada', inilah masanya untuk bertukar kepada cara hidup yang menginginkan sesuatu yang lebih baik. Namun perlu diingatkan bahawa kail panjang sejengkal janganlah lautan hendak diduga. Dengan kata lain, usaha yang tidak seberapa jangan pula mengharapkan hasil yang banyak.

Justeru penggandaan usaha adalah sesuatu yang mesti dilakukan. Inilah yang ditekankan dalam Islam sebagai amal soleh, iaitu usaha ke arah kebaikan. Malahan inilah intipati makna ihsan, iaitu sentiasa inginkan sesuatu yang lebih baik, sama ada melakukan perkara yang lebih baik atau memiliki benda yang lebih baik.

Sebagai kesimpulannya, bangsa Melayu yang telah 57 tahun meraih kemerdekaan, ditambahi pula dengan kehebatan teknologi komunikasi yang ada pada hari ini, pastinya tiada alasan lagi untuk terus berada di bawah, khususnya di tanah air sendiri. Bangsa Melayu perlu terus bangkit dan jangan terus menggantungkan harapan mereka kepada orang lain.

Kemiskinan seharusnya dijadikan pendorong untuk mengejar kejayaan dan bukanlah penghalang. Kemiskinan material hanya bersifat sementara namun kemiskinan jiwa akan menjadikan seseorang itu terus kekal miskin material untuk selamanya.

Liberalisme Pluralisme

Pluralisme adalah pemikiran asing daripada Islam. Fahaman ini mudah bergerak dan berkembang di peringkat golongan elit dan pertengahan yang mencari-cari sesuatu yang berbeza dengan prinsip tradisi Islam. Pluralisme dilihat sebagai suatu ancaman terhadap keyakinan umat Islam hari ini. Bagaimanapun kita perlu melihatnya dari beberapa dimensi yang berbeza.

Mengapakah pluralisme bahaya kepada akidah ummah? Fahaman ini bahaya kerana menyamakan semua agama. Ia lahir akibat pengaruh sekularisme dan proses sekularisasi masyarakat Barat yang beragama Kristian. Fahaman ini percaya agama-agama di dunia hanya berbeza struktur luaran sahaja manakala dalamannya sama iaitu menuju tuhan yang satu. Fahaman ini dikatakan muncul sekitar abad ke-20 apabila seorang ahli teologi Kristian Erntroesch mengemukakan gagasan pluralisme dengan alasan bahawa di luar gereja ada juga keselamatan.

Sudah tentulah apabila kita melihat dari dimensi akidah Islam, pluralisme salah satu ciri kesesatan kerana ia produk sekular dan atheis. Dari dimensi pluralisme sememangnya pemikir dan pengikut tegar mereka cuba menjadikannya setaraf sebagai ideologi atau mendapat tempat di antara agama demi survivalnya. Penganut pemikiran ini berusaha mendapat tempat setaraf dengan agama-agama dunia padahal ia sekadar beberapa cebisan pemikiran dan ubah suai pendekatan agama-agama supaya kelihatan semua agama, kepercayaan atau sebarang ideologi adalah sama - iaitu masing-masing inginkan kebaikan dan kebajikan.

Kemungkinan besar konsep pluralisme tidak ditemui langsung dalam agama-agama lain tetapi cuba dijustifikasikan melalui pemikiran liberal yang sesat.

Tokoh-tokoh pembawa aliran pemikiran ini seperti Norcholis Majid dan Harun Nasution di Indonesia, Sayyed Hussin Nasr di Iran dan Hassan Hanafi di Mesir. Di Malaysia, ia masih menjadi tanda tanya walaupun perbincangan sekitar isu ini seringkali berlaku. Namun kita mampu mengesani individu-individu terbabit apabila kita memahami apa itu falsafah liberalisme dan sekularisme.

Apa yang berlaku di India melalui pendekatan agama baru, Din Ilahi boleh dijadikan contoh klasik yang ingin menyatukan kesemua agama. Walaupun sekian lama berlalu tetapi gerakan dan pengaruhnya terus tersebar sehingga ke hari ini. Unsur- unsur ini dapat disaksikan dalam filem Hindustan yang menyelitkan mesej dan lambang-lambang agama berbeza dalam susunan babak yang mempunyai tribulasi jalan cerita panjang. Itulah sebenarnya yang ingin disampaikan oleh pengarah-pengarah filem Bollywood.

Dalam konteks kekeluargaan, perkara ini juga jelas berlaku di Indonesia apabila satu keluarga menganut empat agama berbeza. Dalam sebuah keluarga ahlinya boleh menganut Islam, Kristian, Hindu atau Buddha. Pluralisme dalam satu unit keluarga terhasil daripada dasar Pancasila di Indonesia. Prinsip ini juga datang dari akar pemikiran sekular yang membuang sebarang kaitan agama dengan urusan dan peraturan duniawi.

Mengapa ini semua berlaku walaupun mereka sesetengahnya dianggap sangat terpelajar seperti Norkholis Majid, Harun Nasution, Kautsar Azhar dan Ulil Abshar di Indonesia? Mereka mengkaji dan memahami Islam samalah seperti penulis Barat, Karen Armstrong menulis A History of God dan John L.Espsito menulis Islam The Straight Path. Malahan John Burton berani menulis An Introduction to the Hadith, sebuah buku tentang hadis iaitu sumber rujukan kedua selepas al-Quran yang kebanyakan orang Islam sendiri sukar memahaminya. Mereka hanya melihat dan menilai dari sudut sosiologi agama, falsafah dan sejarah.

Agama itu hanyalah disandarkan kepada pembawanya seperti Sikh-Guru Nanak, Kristian-Isa, Yahudi-Musa, Buddha-Gautama Buddha, Hindu disandar kepada Mahatma Ghandi. Begitu juga mereka melihat Islam adalah pembawanya Muhammad.

Kebanyakan penulis barat menggunakan Muhammadisme, merujuk kepada Islam sebagai ideologi Muhammad. Itulah cara mereka berfikir dan meletakkan Islam sama seperti ideologi komunis dan Marxis atau sosialis. Jadi logiknya, sesiapa sahaja boleh memilih agama yang disukai. Sedangkan dengan tegas ajaran Islam menyatakan Muhammad itu Rasul dan utusan Allah bersifat ummi. Pemikiran pluralisme jelas apabila rata-rata menggunakan istilah agama Abrahamic merujuk kepada Yahudi, Kristian dan Islam dalam satu kelompok di bawah seruan Nabi Ibrahim. Lebih malang lagi ada yang menyenaraikan agama Bahai yang sesat dan jauh dari Islam itu di bawah satu kelompok yang sama di atas nama Abrahamic.

Dalam beberapa keadaan lain, pluralisme ini cenderung kepada mulhid kerana agama hanyalah isu kebudayaan yang datang daripada perkembangan dan ubah suai tamadun manusia. Wujud agama atau tuhan itu tidak memberi bekas kepada rasa fitrah manusia. Ertinya mereka cuba menolak setiap insan mencari penciptanya. Yang wujud hanyalah diri dan segala yang terjadi secara semula jadi, kebetulan dan tabiat alam semata-mata.

Tepat sekali bahawa pluralisme adalah buah yang datang dari sepohon pokok beracun sekular yang menurut mantan Mufti Mesir, Syeikh Atiyyah Saqr, sekularisme itu fahaman yang mencabut agama dalam medan kehidupan. Maka akhirnya tiada bezanya antara sekularisme dan pluralisme kerana kedua-duanya mempunyai prinsip kesesatan yang sama.

Kaedah inilah yang cuba dibawa dan diserasikan oleh pendukung liberalisme yang membawa kepada pluralisme. Tidak sukar untuk memahami mengapa ini terjadi terhadap orang seperti Norkholis, Harun, Ulil dan lainnya. Tidak mustahil perkara ini berlaku melalui pembentukan minda dengan pengajian dan pendedahan yang telah merubah persepsi mereka. Norkholis lulusan Universiti Chicago, Amerika Syarikat manakala Harun kelulusan Universiti Mc Grill, Kanada. Sayyed Hussin Nasr tidak begitu teruk fahaman pluralisme dan sekularismenya kerana kajiannya lebih kepada falsafah sains bahkan beliau seorang saintis tulen.

Kaedah-kaedah yang terbina dalam disiplin pengajian Islam sukar dipertikaikan oleh logik manusia ataupun ilmu moden. Sehinggakan dalam menentukan keabsahan maklumat dan fakta hatta penapisan maklumat dalam jaringan ICT hari ini sekalipun sudah terpakai dalam pengesanan riwayat hadis. Konsep kaedah ini tidak wujud dalam mana-mana agama dan doktrin dunia.

Malangnya Islam cuba dinilai, ditafsir dan dikritik secara bebas tanpa panduan disiplin ilmu seperti berlaku terhadap Kristian yang melahirkan mazhab Protestan. Apakah mereka boleh dilabel sebagai Muslim Protestan? Kristian dikritik dan ditolak oleh penganutnya sendiri disebabkan para paderi mentafsirkannya sebuah agama yang menolak sains dan paderi mengambil alih kerja tuhan sehingga boleh mengampunkan dosa pesalah. Maka lahirlah orang seperti Martin Luther yang mengkritik Kristian. Akhirnya mazhab Kristian Protestan ditolak oleh Kristian Katolik serta dianggap sesat.

Islam tidak sama dengan agama lain kerana yang menolak teras Islam dan mempertikaikannya akan menjejaskan akidah. Sebab itulah ulama banyak memperincikan kedudukan mereka yang mengalami krisis keyakinan dikategorikan sebagai murtad, kafir, musyrik dan munafik. Orang yang tidak menerimanya sebagai agama (al-Din) tetapi tidak menentangnya dinamakan zimmi, iaitu dilindungi dan dihormati dalam konteks sebuah negara. Islam sangat menggalakkan ijtihad, berfikir, analisis dan mengkaji bukan membuatnya secara bebas yang tidak terikat kaedah dan akidah yang boleh mengundang kesesatan.

Cara berfikir, pengajian dan kajian yang terlepas bebas daripada disiplin ilmu Islam bukan sahaja memberi kesan terhadap gambaran Islam, malah impaknya merebak dan mempengaruhi pengajian di universiti. Justeru ada universiti meletakkan Pengajian Islam itu setaraf dengan Pengajian Sastera. Ada juga universiti cuba menukar status sebuah fakulti pengajian Islam kepada hanya sebuah unit pengajian yang kecil kerana dianggap tidak bertaraf global. Terdapat juga universiti menamakannya sains wahyu dengan membuang pembahagian pengajian syariah, usuluddin dan dakwah yang dibina oleh tokoh-tokoh ulama silam.

Mereka melihat persoalan ketuhanan itu tiada bezanya dengan agama lain, sekadar kepercayaan yang boleh ditokok tambah mengikut selera dan kefahaman berdasarkan perubahan pemikiran masyarakat dan tamadun.

Sebenarnya untuk menjawab persoalan pluralisme dan eksklusifnya Islam telah ramai tokoh ulama terdahulu dan kemudian mengulas. Antaranya Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya ensiklopedia Majmu' Fatawa dan Wahbah Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir yang boleh diringkaskan dua perkara berikut:

Pertamanya, Muhammad pembawa nubuwwah dan risalah yang diterangkan sebelum ini oleh Musa dan Isa. Baginda diutus untuk ummah sejagat dan ialah rasul terakhir sebagai pelengkap. Pengutusannya merangkumi alam manusia dan jin, bangsa dan puak-puak di zamannya dan zaman-zaman seterusnya. Ini sekali gus membatalkan syariat para nabi dan rasul sebelumnya yang diutuskan kepada umat sezaman dan bangsa-bangsa tertentu sahaja.

Keduanya, menurut Ibnu Taimiyyah, Islam memperakui para nabi, rasul dan kitab-kitab mereka. Tetapi kitab mereka seperti Taurat, Zabur dan Injil telah diselewengkan. Sebab itulah versi kitab mereka boleh ditemui dalam pelbagai bahasa yang gagal dipastikan ketulenannya. Sedangkan al-Quran hanya satu versi dalam bahasa Arab walaupun para penganutnya dari pelbagai bangsa dunia yang berbeza bahasa.

Dua ciri tersebut ada pada Islam yang bersifat universal menyebabkan ia menjadi agama yang sangat eksklusif. Tidak boleh berkongsi sifatnya dengan agama lain, tunggal, serta tidak boleh berada setaraf dengan agama lain. Agama-agama tersebut sama ada dalam kelompok Samawi atau budaya. Malahan jauh sekali berbentuk doktrin, kepercayaan atau ideologi daripada tokoh pemimpin agama, politik, pengajian atau negarawan. Kesejagatan Islam telah menjangkau bangsa, bahasa, agama, geografi dan zaman.

Eksklusif dan unggulnya Islam sehingga memperakui kewujudan agama lain tetapi tetap menolak secara mutlak kebenarannya. Inilah keistimewaan Islam yang datang daripada Allah tanpa campur tangan manusia. Sebab itulah secara jelasnya Allah menegaskan bahawa sesungguhnya, al-Din (agama) itu hanyalah Islam... (Ali-'Imran:19). Wallahualam.

Friday 28 October 2016

Muzium Kapal Perang KD RAHMAT

Kapal perang KD RAHMAT telah dijadikan monumen sejarah setelah dilucutkan tauliah oleh Tentera Laut Diraja Malaysia pada tahun 2004 dan dijadikan muzium. Terletak di pesisiran pantai bertaraf dunia di Bandar Tentera Laut dan Maritim, Lumut, Perak (Markas Armada TLDM).

Pada penghujung tahun 1972, KD RAHMAT (nama asalnya KD HANG JEBAT), iaitu sebuah kapal kelas frigate yang dibina di Glasgow, Scotland pada tahun 1968, telah ditauliahkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia.

Frigate yang dilengkapi dengan enjin gas turbin itu memerlukan kemahiran anggota untuk mengendalinya. Persenjataannya adalah mengikut perkembangan teknologi di masa itu.

Tentera Laut Diraja Malaysia merupakan salah sebuah tentera laut yang pertama di rantau Asia Tenggara dilengkapi peluru berpandu SeaCat untuk menembak sasaran di udara.

Selain itu ia juga dilengkapi dengan roket Mortar MK 10 dan sonar yang terbaik untuk tujuan peperangan anti kapal selam.

Meriam yang dipasang berkaliber 4.5 inci boleh menembak sasaran di permukaan, sasaran udara dan juga dalam operasi Naval Gunfire Support (NGS).

Peralatan-peralatan lain termasuk sebuah radar pengawasan jarak jauh yang menjadikannya sebagai sebuah frigate yang serba boleh.

Thursday 30 June 2016

Bayi Lahir Genggam Al-Quran

Hari ini, keajaiban Allah SWT muncul satu demi satu. Buka mata dan tingkatkan iman kita melalui semua keajaiban ini.

Satu contoh istimewa berlaku pada awal tahun 2013 dengan kelahiran bayi lelaki di dalam sebuah gereja. Dia dilahirkan oleh ibunya dan keluar sambil memegang Al-Quran mini. Subhanallah!

Wanita berumur 32 tahun melahirkan seorang bayi lelaki yang mencengkam Al-Quran dengan tangan kanan. Sejak bersalin, ibu bayi itu, Kikelomo Ilori, dan jirannya di Jalan Shonde menerima ramai pengunjung yang berharap dapat melihat keajaiban bayi dan Al-Quran itu. Mereka yang datang termasuk pengerusi kerajaan tempatan, wanita dari pasar, anggota polis, imam, ketua dan pemimpin Islam.

Kikelomo tinggal den ibunya. Orang ramai memenuhi balkoni aras pertama dan kedua di kawasan perumahannya. Al-Quran kecil itu diletakkan di dalam sebuah kotak telus dan di sebelahnya diletakkan satu besen yang mengandungi wang yang diberikan orang ramai. Secara bersela, jeritan Allahu Akbar, Allahu Akbar berkumandang di udara.

Menurut Kikelomo, dia melahirkan bayi lelaki di Gereja Cherubim dan Seraphim, iaitu terletak di Ejigbo. Seorang kawan, Kenny Ogunlana membawanya ke gereja selepas kehamilannya melebihi sembilan bulan.

Malahan katanya, kehamilan itu sudah menjangkau 11 bulan dan bayi itu seperti tidak terburu-buru untuk muncul di dunia ini. Apabila mereka sampai di gereja Morning Star Cherubim dan Seraphim, dia bertemu bidan Victoria Moses. Bidan itu berdoa untuknya pada setiap hari.

Empat hari selepas itu. Kikelomo bersalin. Kikelomo melalui detik-detik bersalin yang mencemaskan. Dia tidak tahu bayinya keluar ke dunia dengan mencengkam sesuatu, apatah lagi Al-Quran. Kemudian, baru dia diberitahu tentang kejadian itu.

Bidan itu berkata, "Ini bukan bayi biasa."

Victoria yang berusia 60-an berkata, "Apabila Kikelomo dibawa ke gereja kami di Morning Star, dia mengadu kesakitan berpanjangan di pinggang. Saya memberitahunya, itu adalah normal. Walaupun bayi lewat dilahirkan, saya mendapati dia tidak berada dalam ketakutan.

Saya bertanya sekiranya dia ada keyakinan bagi melahirkan bayinya. Kikelomo menjawab ya. Saya tidak memberitahu dia apa-apa, kecuali doa dan air. Apabila air ketubannya pecah, dia datang kepada saya. Perkara yang mengagumkan berlaku semasa dia sakit hendak bersalin.

Tiada lampu di situ kerana PHCN sudah memotong bekalan elektrik. Tetapi, apabila kepala bayi keluar, tiba-tiba lampu menyala. Jeritan Allahu Akbar berkumandang di dalam bilik itu. Saya mendapati bayi sedang mencengkam sesuatu. Pada mulanya saya ingatkan ia adalah gumpalan darah. Saya cuba membuangnya, tetapi ia digenggam kuat.

Saya gunakan air bagi membasuh dan membuang darah itu. Kemudian, saya melihat dan menyangka ia tisu. Tetapi, tisu bukan benda yang keras. Saya terus membasuhnya dan akhirnya ia menjadi lebih jelas. Ia adalah sebuah buku kecil. Ia lebih kecil daripada apa yang kamu lihat sekarang. Saya meletakkannya di tepi. Tiba-tiba, PHCN memotong kuasa elektrik sekali lagi. Satu lagi jeritan Allahu Akbar berkumandang. Saya yakin, Tuhan yang menganugerahkan bayi itu.

Saya pernah melihat kes bayi dilahirkan memegang seutas tali, tetapi tidak seperti ini! Saya sudah membantu ramai ibu melahirkan bayi mereka. Tetapi saya tidak pernah melihat kejadian sebegini. Apabila ibu wanita itu datang, saya menunjukkan apa yang saya temui dalam tangan kanan bayi."

Ibu Kikelomo yang serta-merta mengenali benda itu sebagai Al-Quran, ia bergegas keluar mencari imam di kawasannya di Ijesha. Dia merayu kepada mereka bagi menjelaskan makna kelahiran bayi itu dengan Al-Quran.

https://youtu.be/Wk3CqRRRCTY

Monday 27 June 2016

Tempias Isu HONDA

Akibat menyokong program anjuran LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender), American Honda Motor menerima padah apabila dikecam dengan hebat oleh netizen dari seluruh dunia, terutama sekali dari Malaysia dan Indonesia.

American Honda Motor melalui akaun Facebooknya bertarikh 18 Jun 2016  telah mengumumkan akan menyokong Columbus Pride Parade yang akan diadakan di Ohio, Amerika Syarikat.
Sambil memuat naik gambar-gambar kereta Honda yang beraneka warna dalam Facebook itu, syarikat pengeluar kereta itu berjanji akan sentiasa menghormati semua jenis golongan manusia termasuk golongan LGBT.

Dalam laporan China Press, akhbar ini mendapati langkah yang dibuat American Honda Motor amat tidak disenangi oleh pengguna kereta Honda di Malaysia dan Indonesia.

Ramai yang membantah keputusan berkenaan sehingga ada yang sedia menjual kereta Honda yang digunakan mereka sekarang dan tidak kurang pula yang memboikot untuk tidak lagi membeli jenama kereta keluaran Jepun ini lagi.

Monday 11 April 2016

Kumpulan Perisik Dunia Menyamar Jadi Pelanggan Mossack Fonseca

BERLIN: Ejen perisikan dari pelbagai negara, termasuk yang menjadi ‘orang tengah’ kepada CIA, telah menggunakan khirmat firma perundangan Panama, Mossack Fonseca untuk ‘melindungi’ aktiviti mereka, lapor akhbar Jerman, Sueddeutsche Zeitung pada Selasa.

“Ejen rahsia dan pemberi maklumat mereka telah secara berleluasa menggunakan perkhidmatan firma itu,” lapor akhbar itu mengenai 11.5 juta dokumen yang telah bocor hingga menggemparkan dunia.

Tambah akhbar itu lagi, seperti yang dilaporkan AFP, ‘ejen perisik telah menggunakan syarikat yang tidak lagi aktif untuk menyembunyikan aktiviti mereka. Antaranya adalah pihak yang mempunyai kaitan dengan CIA’.

Akhbar yang berpangkalan di Munich itu menyatakan bahawa pelanggan Mossack Fonseca adalah termasuk beberapa ‘pemain’ dalam skandal Iran-Contra 1980-an, yang menyaksikan pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) mengendalikan jualan senjata kepada Iran dalam usaha membebaskan tebusan Amerika dan menaja pemberontak Contra Nicaragua.

Panama Papers juga mendedahkan ‘bekas pegawai tinggi dan pegawai semasa bagi pasukan perisik dari sekurang-kurangnya tiga negara iaitu Arab Saudi, Colombia dan Rwanda, tersenarai sebagai pelanggan Mossack Fonseca.

Antaranya ialah Sheikh Kamal Adham, bekas ketua perisikan Arab Saudi yang meninggal dunia pada 1999. Pada 1970-an, Sheikh Kamal bertindak sebagai salah seorang orang tengah penting bagi CIA, lapor akhbar itu.

Sueddeutsche Zeitung telah menerima banyak maklumat dari dokumen Mossack Fonseca, yang disampaikan oleh sumber yang tidak diketahui. Ia seterusnya telah dikongsi oleh lebih 100 kumpulan media melalui Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (ICIJ).

Seminggu selepas pendedahan pertama, dokumen-dokumen itu telah membongkar identiti golongan kaya dan berkuasa dari seluruh dunia yang menggunakan syarikat luar pesisir untuk menyimpan aset mereka.

Sunday 20 March 2016

CORTANA

Let me introduce, this is my friend named Cortana. She is staying inside my Microsoft Smartphones Lumia 640 XL LTE.