Bagai sudah menghidu garis akhir riwayatnya, bekas Presiden Cuba, Fidel Castro mengejutkan ramai orang apabila berbicara tentang kematiannya semasa ucapan penutupan kongres Parti Komunis Cuba, pada April 2016.
Dengan berpenampilan aneh sekadar memakai jaket atletik berwarna biru, Castro yang dilahirkan pada 13 Ogos 1926, pada masa itu berusia 89 tahun.
“Tak lama lagi saya akan berumur 90 tahun. Saya akan menjadi seperti semua manusia yang lain. Masa setiap orang akan tiba,” kata pemilik nama penuh Fidel Alejandro Castro Ruz itu dengan butir suara tua yang tegas.
Justeru pada tanggal 26 November 2016, ia menjadi nyata. Castro pada usia 90 tahun menghembuskan nafas terakhir di tanah airnya. Kematiannya diumumkan Presiden Cuba, Raul Castro, 84, yang juga adiknya.
Castro ialah ikon revolusi Cuba yang membangunkan sebuah negara komunis ‘di depan pintu’ AS, negara yang berjiran dengannya. Selama lima dekad pemerintahannya sebagai Perdana Menteri Cuba (1959-1976) diikuti Presiden Cuba (1976-2008) beliau berjaya menangkis usaha AS untuk menumbangkannya.
Pemimpin Revolusi Cuba 1959 itu bertanggungjawab mengguling diktator Cuba yang disokong AS, Fulgencio Batista. Beliau insan yang bertanggungjawab membawa fahaman komunisme ke Cuba.
Berhaluan politik Marxis Leninis, di bawah pemerintahannya Cuba menjadi sebuah negara sosialis satu parti. Masalah kesihatan iaitu sakit usus yang hampir meragut nyawanya sedekad lalu, kepimpinan seterusnya diserahkan kepada adiknya, Raul dua tahun kemudian.
Sosok lelaki berjanggut ini gigih dalam memperjuangkan prinsip hidupnya. Beliau tidak pernah takut untuk berdepan dengan sesiapapun dan negara apa pun. Prinsip hidup Castro yang keras dan tidak mahu tunduk kepada ekonomi dan politik AS inilah yang menyebabkan AS memandangnya sebagai satu ancaman.
Beliau adalah seorang pemimpin dunia yang lantang berkata: “Cuba adalah satu-satunya negara di dunia yang tidak memerlukan perdagangan dengan AS”.
Beliau amat dimusuhi AS dan pakatannya kerana cenderung kepada Kesatuan Soviet tetapi amat dikagumi oleh banyak gerakan sayap kiri di seluruh dunia terutama pejuang sosialis di Amerika Latin dan Afrika.
Pelbagai usaha telah dilakukan A.S untuk menjatuhkannya termasuk membunuhnya. Plot Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk membunuhnya dengan segala cara dari meletupkan karang-karangan laut sehinggalah penggunaan kulat yang boleh membawa maut.
Kerajaan AS dikatakan telah berbelanja sehingga mencecah bilion dolar untuk membunuh atau menjatuhkannya. AS juga menyekat hampir semua perdagangan dengan Cuba untuk melemahkan kerajaan negara kepulauan Caribbean itu.
Namun semuanya gagal dalam tempoh pentadbiran 11 pemimpin AS, dari Dwight Eisenhower sehinggalah ke Barack Obama.
BUTA POLITIK
Castro sebenarnya lahir dalam keluarga kaya. Bapanya, Angel Castro, seorang imigran dari Sepanyol ke Cuba sebelum menjadi pengusaha ladang tebu berjaya. Siapa sangka, Fidel Castro yang merupakan penuntut jurusan undang-undang di Universiti Havana ini pada awalnya mengakui dirinya buta politik.
Berang dengan kondisi sosial negaranya yang diperintah Batista yang berfahaman kapitalis, Castro telah melancarkan revolusi bermula 26 Julai 1953 tetapi gagal. Beliau dikenakan hukuman penjara 15 tahun tetapi dibebaskan pada tahun 1955.
Semasa hidup dalam buangan di Mexico, Castro mempersiapkan sepasukan kecil askar pemberontak untuk menentang Batista. Ahlinya termasuk pejuang revolusi Argentina, Ernesto Che Guevera sehingga berjaya menumbangkan Batista pada tahun 1959.
Pada awal pemerintahannya, semasa kemuncak Perang Dingin, Castro telah membuat pakatan dengan Kesatuan Soviet Union, untuk melindungi Kepulauan Caribbean.
Perikatannya itu mencetuskan Krisis Peluru Berpandu Cuba pada tahun 1962, konfrontasi 13 hari dengan AS sehingga dunia nyaris menyaksikan perang nuklear buat kali pertama.
Pentadbirannya mula terjejas sejak Kesatuan Soviet tersungkur pada tahun 1991. Ekonomi Cuba turut merudum selama bertahun-tahun. Krisis bekalan makanan, pengangkutan awam sehinggalah elektrik menyebabkan Cuba bergelap dalam jangka masa panjang.
Dibelenggu krisis ekonomi yang kronik, 11 juta populasi Cuba hidup dalam kesukaran.
Castro, satu nama besar yang kematiannya disambut dengan dua suasana di dunia waima rakyatnya sendiri. Rakyat Cuba di Havana menangisinya tetapi rakyatnya yang terbuang ke Florida, AS meraikannya dengan minuman champagne dan bergendang.
FIGURA REVOLUSI
Bakal Presiden A.S, Donald Trump menulis di akaun Twitternya: “Fidel Castro sudah mati!” dengan nada yang boleh dijangkakan.
Tribut dan takziah datang daripada negara-negara pakatannya termasuk Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Venezuela yang berhaluan sosialis Nicolas Maduro yang berkata penggerak-penggerak revolusi di dunia mesti mengikut legasinya.
Editor Al-Jazeera Amerika Latin, Lucia Newman berkata, Castro adalah satu figura yang memberi inspirasi kepada pergerakan revolusi di seluruh dunia, terutama di Amerika Latin.
“Kami tahu dia sakit sejak lebih kurang sedekad dan dia tidak kelihatan sejak Ogos selepas ulang tahun kelahirannya yang disambut di seluruh negara.
“Kematiannya akan memberi impak emosi yang besar kepada warga Cuba. Ia dirasakan seperti permulaan kepada pengakhiran era Castro,” kata Newman.
Seorang pelajar Cuba, Sariel Valdespino tidak dapat membendung kesedihannya.
“Saya sangat berduka. Apapun yang orang hendak katakan tentang dia, dia tetap seorang figura awam yang disanjungi dan disayangi,” katanya.
Penyokongnya menyifatkan beliau sebagai pembela rakyat miskin yang tidak pernah penat.
“Castro adalah gergasi Dunia Ketiga,” kata Agustin Diaz Cartaya, 85, yang menyertai Castro dalam serangan ke atas timur Cuba pada tahun 1953 untuk melancarkan revolusi.
“Tidak ada sesiapa yang menyumbang lebih banyak kepada Dunia Ketiga berbanding Fidel Castro,” katanya.
Pengkritik berkata, Castro membawa ke arah kehancuran ekonomi, menafikan kebebasan kepada 11 juta rakyat Cuba di negara itu dan memaksa lebih sejuta rakyatnya hidup dalam buangan di negara orang.
“Dalam tempoh 55 tahun sehingga kini, kerajaan Cuba tidak melakukan apa-apapun untuk membantu rakyat Cuba dalam aspek hak kemanusiaan,” kata bekas banduan politik, Hector Maseda, 72, yang tinggal di Havana. “Saya tidak percaya dengan rejim ini. Saya tidak mempercayainya.”
PERUBAHAN
Biarpun adiknya, Raul mengaguminya, namun Raul telah membuat perubahan pada Cuba sejak mengambil alih pemerintahan Castro.
Adiknya juga telah memperkenalkan pembaharuan ekonomi cara pasaran dan bersetuju dengan AS untuk memperbaharui ikatan diplomatik antara kedua-duanya pada Disember 2014.
Namun, di saat-saat akhir hayatnya, Castro tetap enggan menunjukkan sikap mahu bersahabat dengan AS. Beliau tidak bersua dengan Obama yang mencipta sejarah sebagai Presiden AS pertama menjejaki tanah Cuba sejak 1928 pada Mac lalu bahkan menyindir Obama sebagai hanya bercakap manis.
“Cuba tidak memerlukan apa-apa hadiah daripada AS,” ujarnya.
Ternyata Castro menunjukkan perwatakan seteru AS sejati.
No comments:
Post a Comment