Saturday, 29 October 2016

Lebih baik Miskin Material Daripada Miskin Jiwa

Saban tahun setiap kali pembentangan bajet, golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan mengharapkan sesuatu yang menggembirakan hati mereka demi untuk merasai sedikit keselesaan dalam hidup. Namun apa yang menjadi harapan kadangkala tinggal harapan dan sukar untuk diterjemahkan kepada kenyataan.

Namun apakah itu boleh dianggap sebagai pengakhiran kepada sebuah harapan? Yang pasti sebagai bangsa yang pernah membina kecemerlangan tamadun pada awal kurun ke-16 perlu bangkit dan menganggap ini satu cabaran baharu untuk mereka. Inilah satu peluang keemasan untuk mereka bangun memajukan diri lalu membuktikan kekuatan dan kekayaan jiwa mereka meskipun tidak dan masih belum memiliki kekayaan material.

Tiada yang boleh menafikan bahawa kebanyakan orang Melayu miskin dari segi kewangan dan pemilikan harta. Setengah beranggapan bahawa faktor wang ringgit inilah yang menyebabkan seseorang itu mundur. Namun ingin dijelaskan bahawa kemiskinan seseorang itu bukanlah terletak kepada keupayaan memiliki wang atau harta benda sematamata sebaliknya lebih kepada pemilikan jiwa yang hebat berasaskan nilai murni tinggi.

Memang benar kemiskinan harta boleh menjadi rintangan, tetapi bukanlah penghalang. Jika ditelusuri kalangan mereka yang berjaya, ramai bermula dengan kesusahan. Meskipun lahir dalam keluarga susah, mereka tidak miskin jiwa sebaliknya terus mempunyai ketinggian dan semangat dalaman untuk bangkit dan mencipta kecemerlangan.

Tidak salah kiranya Presiden Abraham Lincoln diambil sebagai contoh dalam hal ini. Beliau yang tidak dapat meneruskan persekolahan kerana kemiskinan harta tidak menganggap itu sebagai penghalang namun dengan kekayaan jiwa yang dimiliki, menjadi pendorong utama untuknya menambah ilmu agar dapat membawa perubahan kepada kehidupannya. Beliau sanggup menunggang kuda sejauh enam batu untuk meminjam sebuah buku. Beliau membaca menggunakan cahaya lilin yang malap. Kesabaran dan ketekunannya akhirnya meletakkan beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Tradisi orang Scots yang meletakkan pelajaran sebagai keutamaan tidak dapat dinafikan. Walau bagaimana miskin harta sekalipun, apabila berdepan dengan soal pendidikan, mereka sanggup berjimat cermat dan berkorban demi memastikan aspek pendidikan dapat dijalankan dengan sempurna.

Banyak lagi bangsa yang meletakkan kemiskinan dan kepayahan sebagai satu cabaran dan bukannya halangan yang bersifat kekal.

Kemiskinan jiwa kebiasaannya didasari perasaan malas. Hal ini termasuklah malas berfikir, malas berusaha, malas belajar dan membaca, bersifat negatif dalam banyak perkara, tidak jelas tujuan hidup dan tidak berdisiplin.

Mungkin ada di antara kita bangsa Melayu yang agak sensitif apabila disinonimkan bangsa Melayu dengan sifat malas. Namun sebagai bangsa yang berjiwa besar, biar apa jua yang diperkatakan, yang penting adalah usaha untuk membuktikan tanggapan itu tidak tepat sama sekali.

Dengan kekuatan dan kekayaan jiwa yang dimiliki, mereka akan terus maju dan bersemangat untuk meneruskan kehidupan biarpun pelbagai cabaran yang mendatang, berbekalkan ajaran Islam yang menuntut umatnya untuk sabar dan terus berusaha dalam menghadapi sebarang cabaran atau ujian dan menganggapnya sebagai satu rahmat untuknya terus dekat dengan Pencipta yang memiliki sifat Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Islam juga dengan jelas menekankan bahawa segala cabaran dan ujian yang diberikan kepada hambaNya bukanlah untuk membinasakan tetapi lebih untuk melihat sejauh mana tahap kesabaran hambaNya untuk terus berusaha dan mengharapkan pertolongan hanya daripadaNya.

Persoalannya kini adakah bangsa Melayu sebahagian besarnya bersikap seperti itu ataupun sebaliknya. Dalam hal ini, tepuk dada dan tanyalah diri.

Dalam aspek kekeluargaan sebagai contoh, inilah peluang terbaik untuk suami dan isteri, juga ibu dan ayah sebagai ketua keluarga melihat semula cara hidup yang diamalkan sama ada ia mampu merubah mereka kepada sebuah kehidupan yang lebih baik ataupun sebaliknya.

Sekiranya mereka masih mengamalkan cara hidup 'cukuplah dengan apa yang ada', inilah masanya untuk bertukar kepada cara hidup yang menginginkan sesuatu yang lebih baik. Namun perlu diingatkan bahawa kail panjang sejengkal janganlah lautan hendak diduga. Dengan kata lain, usaha yang tidak seberapa jangan pula mengharapkan hasil yang banyak.

Justeru penggandaan usaha adalah sesuatu yang mesti dilakukan. Inilah yang ditekankan dalam Islam sebagai amal soleh, iaitu usaha ke arah kebaikan. Malahan inilah intipati makna ihsan, iaitu sentiasa inginkan sesuatu yang lebih baik, sama ada melakukan perkara yang lebih baik atau memiliki benda yang lebih baik.

Sebagai kesimpulannya, bangsa Melayu yang telah 57 tahun meraih kemerdekaan, ditambahi pula dengan kehebatan teknologi komunikasi yang ada pada hari ini, pastinya tiada alasan lagi untuk terus berada di bawah, khususnya di tanah air sendiri. Bangsa Melayu perlu terus bangkit dan jangan terus menggantungkan harapan mereka kepada orang lain.

Kemiskinan seharusnya dijadikan pendorong untuk mengejar kejayaan dan bukanlah penghalang. Kemiskinan material hanya bersifat sementara namun kemiskinan jiwa akan menjadikan seseorang itu terus kekal miskin material untuk selamanya.

No comments:

Post a Comment