Menggunakan orang (memerah tenaga/mental/fizikal) secara maksimum untuk mendapatkan hasil/keuntungan yang maksimum tanpa memikirkan kebajikan orang, itulah sikap seorang ketua. Suka mengungkit kesilapan orang berkali-kali hingga tidak nampak langsung kebaikan orang kepadanya. Apabila orang melakukan kebaikan, berat mulutnya untuk memuji dan berterima kasih, tetapi dia sendiri sentiasa mengharapkan orang memuji, memberi penghargaan, dan menyebut serta mengenang kebaikannya. Dia adalah pendesak, yang hanya tahu menyampaikan maksud dan tujuannya tanpa mengambil kira keadaan orang yang didesaknya. Yang difikirkannya berapa banyak yang boleh dia dapat manfaat daripada orang sekelilingnya, bukan berapa banyak manfaat yang mampu diberikannya.
Tetapi, seorang pemimpin dia menjadi ‘pemberi inspirasi’ kepada orang. Mendahului kawalan emosi; dengan memberikan sebanyak mungkin kasih sayang dan menanamkan kepercayaan orang sekeliling terhadap dirinya. Dia mempercayai, dengan kasih sayang dapat menyelesaikan semua masalah, kerana orang akan mendengar kata atau nasihat orang yang disayanginya sahaja.
Seorang ketua dia adalah seorang yang ‘mahukan penghormatan’, tetapi seorang pemimpin dia ‘mendapatkan penghormatan’. Apakah perbezaannya antara ‘mahukan penghormatan’ dengan ‘mendapat penghormatan’?. Orang yang sentiasa berasa dirinya penting ialah orang yang mengharapkan atau ‘mahukan penghormatan’ dan dia tidak perlu berusaha mendapatkan penghormatan itu, kerana dia berasa itu haknya sebagai ketua. Dia akan marah jika orang tidak menghormatinya dan tidak tahu dia sebagai ketua.
Tetapi, pemimpin ialah orang yang ‘mendapatkan penghormatan’. Dia akan berusaha berbuat sesuatu yang bermanfaat kepada orang sekelilingnya dengan ikhlas, dan menerima hakikat penghormatan itu bukan hak hakikinya. Dia tidak mengharapkan penghormatan dan yang diharapkannya ialah reda Allah SWT. Sekiranya dia berjaya ‘mendapat penghormatan’, itu satu respons positif yang diperolehnya hasil daripada tindakan positifnya.
Seorang ketua, dia suka orang takut kepadanya. Dia akan menggunakan kuasanya menggertak atau mengugut orang, akan memberikan hukuman dan menarik segala hak yang patut diperoleh orang sekelilingnya, jika enggan patuh kepada arahannya. Dia juga akan ‘menakutkan orang/menimbulkan rasa takut orang sekeliling terhadap sesuatu perkara’.
Seorang pemimpin dia memudahkan, membahagiakan orang dan membangkitkan semangat orang sekelilingnya. Memandang orang bukan sahaja dengan pandangan mata akal, tetapi menggunakan mata hati. Keprihatinannya amat tinggi; sedih melihat orang sedih dan bahagia melihat orang bahagia dan ‘menjadikan inspirasi untuk mewujudkan semangat yang bergelora dan minat yang mendalam’.
Seorang ketua, ‘meletakkan salah kepada orang lain’, tetapi seorang pemimpin dia ‘memikul kesalahan’. Seorang ketua suka menyalahkan dan mencari kesalahan. Tidak suka melakukan refleksi diri sendiri atau muhasabah diri, tetapi suka menunjukkan kesalahan orang lain yang menyebabkan sesuatu kegagalan.
Tetapi, seorang pemimpin dia akan mengambil tanggungjawab dan sanggup mengambil risiko memikul kesalahan di atas bahunya sendiri, dia yang memberikan penghargaan dan memuji. Sangat baik hati dan pemurah hati untuk memberikan sesuatu kepada orang sebagai tanda dia berterima kasih dan mengenang serta menghargai jasa baik orang kepadanya.
Jadilah seorang ‘pemimpin’ bukan seorang ‘ketua’. Tidak kiralah apa pun posisi kita sebagai pemimpin (sama ada sebagai suami, ayah, ibu, atau ketua dalam satu-satu jabatan, organisasi, atau negara), jadilah pemimpin yang dapat memberikan manfaat kepada orang sekeliling kita.
Amalkan sikap; mempermudahkan urusan bukan menyusahkan urusan dengan orang sekeliling. Banyak orang boleh menjadi ketua, tetapi tidak ramai yang mampu menjadi pemimpin. Inilah perbezaan antara ketua dengan pemimpin.
No comments:
Post a Comment