Saturday, 31 May 2014

Cubaan bunuh keluarga Maarof

Kes bunuh pengasas bank Melayu:

Mustapha cerita detik cemas 10 bulan sebelum bapa ditemui mati digantung
Keluarga pengasas Malay National Bank, Allahyarham Maarof Zakaria pernah cuba dibunuh sekumpulan lelaki bersenjata api ketika mereka berpindah ke kediaman baharu di Taman Seputeh, Jalan Klang Lama, pada awal tahun 1947.

Kejadian itu berlaku kira-kira 10 bulan sebelum Maarof ditemui mati digantung pada sebatang pokok di hutan berhampiran Batu 13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong, Pahang pada 7 Disember 1947.

Mengimbau detik ngeri itu, anaknya, Datuk Mustapha Maarof akur, kejadian itu meninggalkan trauma mendalam pada dirinya sehingga hari ini, tetapi bersyukur kerana terselamat dalam cubaan bunuh berkenaan.

Ketika itu, Maarof, seorang peguam kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan dikatakan baharu membeli sebidang tanah dusun dianggarkan seluas 0.8 hektar di kawasan bukit yang mempunyai dua unit rumah setingkat, terletak berhampiran Sekolah Melayu Seputeh (kini SK Taman Bukit Desa).

Thursday, 30 January 2014

Hasrat Tanding Di DUN Kajang Sebagai 'Tangga' Untuk Teruskan Impian Jadi Perdana Menteri

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang jika diadakan, sebagai usaha mencapai matlamatnya menjadi Perdana Menteri.

Dr Mahathir berkata, ia adalah langkah untuk naik dan Anwar tidak akan berhenti pada tahap itu sahaja.

"Saya fikir itu bukan matlamatnya tetapi itu adalah tangga yang digunakan untuk mencapai matlamatnya (menjadi Perdana Menteri)," katanya kepada pemberita selepas ditemu bual dalam program Dalam Radar Khas terbitan BERNAMA Radio24 di Wisma BERNAMA di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Anwar mahu bertanding pada pilihan raya kecil DUN Kajang yang dilihat umum sebagai langkah untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Ditanya sama ada tindakan Anwar itu dilihat sebagai seorang yang 'gila kuasa', Dr Mahathir berkata, "Memang Anwar dari dulu, saya tidak tahu gila kuasa atau tidak, tetapi beliau masuk UMNO bukan kerana sayang kepada UMNO kerana jika tak masuk UMNO, tak boleh jadi Perdana Menteri."

Alasan capai matlamat;
"Kalau masuk PAS, (Anwar) tak mungkin jadi Perdana Menteri, sampai sekarang ini pun, dia masuk (UMNO) ada alasan, yang ini pun (bertanding pada pilihan raya kecil) ada alasan untuk mencapai matlamatnya," katanya.

Ditanya sama ada hasrat Anwar untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu mempunyai kaitan dengan kes liwat beliau untuk memberi tekanan kepada kerajaan, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu sama ada ia mempunyai kaitan secara langsung atau tidak.

"Bagaimanapun, jika beliau menjadi Perdana Menteri, ia satu tahap ke arah itu, jadi Perdana Menteri, maka banyaklah benda beliau boleh buat untuk melindungi dirinya," katanya.

Wednesday, 29 January 2014

Perdana Menteri Umum Program Bantu Kurang Beban Kos Sara Hidup Rakyat

Mulai hari ini orang ramai boleh membeli 4,000 produk pada harga diskaun 15 hingga 70 peratus di 995 cawangan 10 pasar raya di seluruh negara.

Tawaran selama enam bulan itu membabitkan Pasar Raya Econsave, AEON, Mydin, NSK, 99 Speedmart, AEON BIG, Segi Fresh Mart, Giant, KK Mart dan Tesco, sempena Kempen Penurunan Harga 2014 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.

Kempen anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu bertujuan membantu mengurangkan beban rakyat akibat peningkatan kos sara hidup.

Sunday, 26 January 2014

POHON NABI

Yang dimaksud dengan Pohon Nabi adalah Pohon yang pernah menanungi Nabi Muhammad SAW dari terik matahari. Pohon Nabi ini sudah berumur ribuan tahun, namun anehnya Pohon Nabi ini masih hidup dan segar hingga sekarang.

Pohon Nabi ini sekali lagi menjadi bukti kenabian Nabi Muhammad SAW. Dan sepertinya Pohon Nabi ini sengaja dibiarkan hidup oleh Allah SWT agar diingati, kenangan dan bukti sejarah masa lalu. Inilah pohon yang memahami cinta buat Nabinya Muhammad SAW, Pohon yang diberkati.

Sehingga sekarang pokok ini masih hidup lagi di Jordan. Ianya digelar "sahabat Nabi yang masih hidup".

Sedikit sejarah mengenainya;

Ketika Rasulullah SAW keluar ke Syam bersama Maisarah, pekerja Saiditina Khatijah RA untuk berniaga, Baginda SAW pernah berteduh di bawah pohon ini sebelum sampai ke sana.

Semasa Baginda SAW berteduh di bawahnya, dahan dan ranting-ranting pohon ini bergerak menaungi Baginda SAW daripada cahaya matahari.

Seorang pendeta yang melihat kejadian ini datang bertemu Maisarah & menunjukkan kepadanya pohon tempat teduhan Rasulullah SAW itu dengan berkata "hanya seorang Nabi sahaja yang berteduh di bawah pohon ini".

Pohon ini terletak di tengah padang pasir bernama Buqa’awiyya di negara Jordan. Dari segi geografi, ia berdekatan dengan kota Bosra di Syria. Sebagaimana kita tahu, Rasulullah SAW dua kali tiba di Bosra.

Ketika bersama bapa saudaranya Abi Talib sewaktu berumur 12 tahun & bertemu dengan Rahib Buhaira dan terserlah tanda kerasulan Baginda SAW di belakang bahu sepertimana tercatat dalam kitab Injil tentang tanda kerasulan  nabi akhir zaman.

Kali kedua Rasulullah SAW ke Bosra membawa barang dagangan Saidatina Khatijah RA. Apa yang menarik selepas dari tanah Tabuk hingga ke Bosra kelihatan Pohon Nabi SAW yang mampu hidup subur di tanah gersang padang pasir ini.

Sejauh lebih 500 km kita tidak akan berjumpa dengan pokok seumpamanya ini. Lihatlah hingga ke hari ini ia tetap subur walaupun berada di tengah-tengah padang pasir yang kering-kontang. Tiada tumbuhan yang boleh hidup sepertinya. ALLAH menghidupkannya dengan kehendakNya jua.

Dan di dalam foto ini juga, Habib Umar Benhafidz seorang daripada keturunan Rasulullah SAW menziarahi pohon di mana datuknya Rasulullah SAW pernah berada di situ.

SubhanAllah, Indahnya Ciptaan الله

Saturday, 25 January 2014

Embun Beku Umpama Salji

Ranau: “Kolam menjadi ais, embun yang menitis juga terus membeku hingga kelihatan seperti salji,” kata penunjuk arah atau dikenali sebagai ‘Malim Gunung Kinabalu’, Nais Momin, 45.

Menceritakan keadaan sejuk luar biasa di puncak Gunung Kinabalu, Nais berkata, beliau menyedari keadaan itu ketika membawa pendaki ke puncak gunung pada 15 Januari lalu. 

“Ini kali pertama saya lihat keadaan seperti itu sepanjang enam tahun menjadi malim di puncak tertinggi Asia Tenggara. Laluan bertangga di kawasan puncak turut diseliputi ais. Laluan pendaki menjadi licin. 

“Cuaca ketika itu redup, bergerimis dan sejuknya menusuk ke tulang. Air menjadi ais dengan ketebalan antara setengah hingga lebih satu sentimeter.

Putih seperti kapas

“Air yang menitis kelihatan putih seperti salji, tetapi apabila jatuh atas batu ia hilang. Ada pendaki menyangka ia salji, tetapi saya berpendapat sebaliknya kerana salji bila jatuh ke bumi, ia kelihatan putih seperti kapas,” katanya ditemui di sini, semalam.
Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Suhaji Sumail, berkata pembekuan air kolam di puncak gunung jarang terjadi dan kali terakhir pernah diceritakan, berlaku lebih 30 tahun lalu.

“Ais biasa ditemui di puncak gunung, terutama pada musim kemarau, tetapi nipis dan cair apabila disentuh. Kali ini, ais ditemui tebal dan berlaku pada musim hujan.

“Saya percaya ia disebabkan cuaca sejuk yang dibawa angin kencang di kawasan puncak gunung,” katanya.

Kakitangan Taman-Taman Sabah, Jenny Jane, 29, berkata catatan suhu dicatat di puncak Gunung Kinabalu, jatuh hingga negatif dua darjah Celsius sejak pertengahan bulan ini, berbanding empat hingga lapan darjah Celsius sebelum ini.

Suhu bawah paras beku

Katanya, pemantauan pihaknya mendapati suhu di bawah paras beku dicatat dua atau tiga hari sebelum meningkat kepada sifar hingga tiga darjah Celsius, sejak seminggu lalu.

“Memang kali ini lebih sejuk disebabkan hujan berpanjangan seminggu lalu sehingga ada jadual pendakian ke puncak dibatalkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Abdul Malek Tussin, berkata keadaan berais di puncak Gunung Kinabalu akibat penurunan suhu sehingga mencapai paras beku adalah perkara biasa.

“Dakwaan salji tidak logik kerana Gunung Kinabalu tidak terletak di kawasan yang biasa berlaku salji,” katanya.

Kongsi Teknik Jogging Yang Betul

Seperti yang kita semua sedia maklum, berjogging adalah berbeza dengan berlari, terutamanya dari segi impak dan kesan kepada badan. Oleh itu, jogging turut mempunyai pergerakan dan teknik yang tersendiri. Ramai yang tidak sedar perbezaan ini – pada mereka, jogging itu adalah ‘pakai kasut dan keluar belari’. Kesannya, ramai yang samada tercedera, atau ‘pancit’ selepas 5 minit, dan kemudian marah-marah kenapa orang mahu menyeksa diri dengan berjogging.

Ketika berjogging, anda perlu memastikan yang anda:

Tidak membongkok: Pastikan badan anda lurus dan tegak ketika berjogging. Bahu yang bengkok memnyempitkan saluran pernafasan, serta mengurangkan keupayaan paru-paru untuk memproses aliran oksigen dan karbon dioksida. Kesannya, anda semput cepat. Jika anda rasa anda sedang membongkok, cuba tarik nafas dengan dalam, badan anda secara semulajadinya akan lurus.

Mendarat di pertengahan kaki: Ketika mendaratkan kaki, pastikan yang anda mendarat di pertengahan kaki, bukan di tumit atau depan, Ini kerana mendarat di pertengahan kaki megurangkan impak – keseluruhan permukaan kaki digunakan untuk menyerap impak dari jogging anda. Mendarat di tumit dan depan meningkatkan risiko kecederaan.

Mendaratkan kaki di bawah badan: Salah satu cara untuk memastikan anda mendaratkan kaki di bahagian tengah adalah dengan memastikan kaki anda tidak terjulur keluar ketika membuat langkahan. Pastikan ketika mendarat, kaki anda itu betul-betul di bawah badan. Kaki yang mendarat di hadapan badan biasanya akan mendarat di tumit.

Lutut sedikit membengkok ketika mendarat: Fisiologi manusia secara semulajadinya akan berbuat demikian ketika anda berjogging, tetapi saya rasa anda perlu tahu juga teknik ini. Lutut yang sedikit bengkok membantu memanjangkan waktu impak, dan mengurangkan kesan kepada lutut ketika anda berjogging.

Ambil nafas secara perlahan, dan teratur: Pernafasan yang tetap membantu memgekalkan rentak larian, dan memastikan kita mampu berjogging untuk jarak yang lebih panjang. Sebagai permulaan, cuba ambil nafas untuk 2 langkah dengan hidung, dan hembus nafas dalam 2 langkah dengan mulut. Jika anda baru sahaja mula jogging, gunakan 3 langkah untuk mengambil nafas.

Friday, 24 January 2014

Anjakan Kutub Bumi

Keadaan cuaca tidak menentu dan bencana alam semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini dipercayai mempunyai kaitan dengan perubahan kecondongan paksi bumi.

Selain itu, pemanasan global juga dikatakan turut mengubah lokasi geografi kutub bumi menurut kajian Geophysical Research Letters.

Laporan penyelidik Universiti Texas, Austin mendedahkan, pencairan bongkah ais semakin meningkat di Greenland menyebabkan kedudukan Kutub Utara berubah beberapa sentimeter pada setiap tahun sejak 2005.

Difahamkan, bermula 1982 hingga 2005, kutub tersebut berubah secara perlahan dari tenggara ke bahagian utara Labrador, Kanada pada jarak kira-kira 2 milliarcsecond atau 6 sentimeter setahun.

Sejak 2005, kutub mula bertukar haluan dan bergerak ke arah timur Greenland pada jarak lebih 7 miliarsecond setahun.

Kumpulan saintis telah sekian lama mengetahui bahawa lokasi kutub bumi tidak tetap dan ia juga menjadi penyebab musim menjadi tidak menentu seperti yang berlaku pada ketika ini.

Selain itu, pencairan ais juga menjadi punca utama paras air meningkat kepada lebih 90 peratus akibat daripada anjakan kutub pada 2005.

Medan magnet bumi berganjak

Pada 2011, medan magnet bumi dilaporkan berganjak pada jarak 64 kilometer setahun, dan saintis menyifatkan ia sebagai fenomena normal yang berlaku sekali pada setiap 100,000 tahun.

Keadaan itu menyebabkan arah kompas berubah dan berkemungkinan tidak lagi menghala ke arah Kutub Utara berikutan kutub kini telah berganjak dari utara Kanada menghampiri ke Rusia.

Susulan daripada perubahan itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Tampa di pantai barat Florida terpaksa melakukan pengubahsuaian terhadap tanda arah di tiga landasan berdasarkan anjakan medan Kutub Utara.

Saintis menganggarkan pada setiap lima hingga 10 tahun, arah kompas akan berubah akibat anjakan kutub bumi.

Bagaimanapun, pendedahan pada pertengahan tahun lalu yang turut dimuat naik ke dalam Youtube menunjukkan Kutub Utara berganjak 260 kilometer dalam tempoh enam bulan.

Perubahan itu menyebabkan medan magnet bumi beralih dari Kanada ke Siberia dalam tempoh kurang daripada 24 bulan.

Apabila peralihan tersebut berlaku,  kutub akan berada pada kedudukan 40 darjah merentasi hemisfera utara. 

Menurut Conall Mac Niocaill, seorang saintis di Universiti Oxford, medan magnet bumi semakin lemah dan ia telah berganjak lebih 1,500 km sejak berabad lalu.

“Kekuatan medan magnet Kutub Utara berkurangan 10 peratus sejak 150 tahun lalu.

"Setiap 250,000 tahun sekali, medan magnet ini akan berubah arah ke selatan dan fenomena tersebut dipercayai kali terakhir berlaku kira-kira 800,000 tahun lalu iaitu sebelum kewujudan manusia,” katanya lagi.

Sehingga kini, saintis gagal menemui jawapan bagaimana fenomena penyongsangan medan magnet itu terjadi.

Waktu lebih singkat

Ahli geofizik Nasa, Richard Gross mendedahkan, kadar putaran bumi menjadi lebih cepat kira-kira 1.8  mikrosaat akibat gempa berkekuatan 9.0 skala Richter yang melanda Jepun pada 2011.

“Gempa kelima terkuat di dunia sejak 1900 itu juga menyebabkan waktu sehari yang sepatutnya bersamaan 24 jam menjadi lebih singkat tanpa disedari masyarakat,” katanya.

Difahamkan, gegaran dahsyat tersebut mengakibatkan kepulauan Honshu berganjak sehingga 2.4 meter dengan pembentukan rekahan di bawah dasar laut sepanjang ratusan kilometer selain paksi bumi berubah pada jarak hampir 10 sm.

Ahli Geofizik Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), Kenneth Hudnut memaklumkan, peta dari Lembaga Maklumat Geospatial (GSI) menunjukkan terdapat corak peralihan melibatkan kawasan yang besar selepas gempa berlaku.