Thursday, 30 January 2014

Hasrat Tanding Di DUN Kajang Sebagai 'Tangga' Untuk Teruskan Impian Jadi Perdana Menteri

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang jika diadakan, sebagai usaha mencapai matlamatnya menjadi Perdana Menteri.

Dr Mahathir berkata, ia adalah langkah untuk naik dan Anwar tidak akan berhenti pada tahap itu sahaja.

"Saya fikir itu bukan matlamatnya tetapi itu adalah tangga yang digunakan untuk mencapai matlamatnya (menjadi Perdana Menteri)," katanya kepada pemberita selepas ditemu bual dalam program Dalam Radar Khas terbitan BERNAMA Radio24 di Wisma BERNAMA di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Anwar mahu bertanding pada pilihan raya kecil DUN Kajang yang dilihat umum sebagai langkah untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Ditanya sama ada tindakan Anwar itu dilihat sebagai seorang yang 'gila kuasa', Dr Mahathir berkata, "Memang Anwar dari dulu, saya tidak tahu gila kuasa atau tidak, tetapi beliau masuk UMNO bukan kerana sayang kepada UMNO kerana jika tak masuk UMNO, tak boleh jadi Perdana Menteri."

Alasan capai matlamat;
"Kalau masuk PAS, (Anwar) tak mungkin jadi Perdana Menteri, sampai sekarang ini pun, dia masuk (UMNO) ada alasan, yang ini pun (bertanding pada pilihan raya kecil) ada alasan untuk mencapai matlamatnya," katanya.

Ditanya sama ada hasrat Anwar untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu mempunyai kaitan dengan kes liwat beliau untuk memberi tekanan kepada kerajaan, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu sama ada ia mempunyai kaitan secara langsung atau tidak.

"Bagaimanapun, jika beliau menjadi Perdana Menteri, ia satu tahap ke arah itu, jadi Perdana Menteri, maka banyaklah benda beliau boleh buat untuk melindungi dirinya," katanya.

No comments:

Post a Comment