Wednesday 26 June 2013

Dipayungi Burung

Tuan Tulis


Nama sebenarnya ialah Haji Ismail Bin Hussien dilahirkan dalam keluarga miskin di sebuah kampung di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dalam tahun 1860an. Gelaran Tulis diberikan kepadanya kerana asyik masyuknya beliau menyalin kitab-kitab yang dipelajarinya untuk menjimatkan wang. Dari kecil Tuan Tulis sudah kerap merantau sehingga ke Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang dengan berjalan kaki sahaja untuk berguru terutama dengan Tok Ayah Man (Tuan Guru Haji Abdul Rahman) yang berasal dari Kelantan.

Tuan Tulis bukan setakat menyalin kitab-kitab yang dipelajarinya sahaja, bahkan beliau juga menyalin antaranya Tafsir Jalalain dan 30 juzuk kitab Al-Quran. Pada mulanya kawan-kawan sepengajian memanggil Ismail Tulis kerana gelaran tersebuut diberi oleh gurunya dan beliau juga menjadi jurutulis kepada gurunya, tetapi apabila beliau dewasa dan mula mengajar, orang memanggilnya Tuan Tulis atau Tun Tulis. Kemiskinan membuatkan Tuan Tulis begitu kreatif. Dengan mencampurkan arang para dan getah limau kasturi, dakwat cair sudah terhasil dan boleh digunakan dengan pena daripada bilah segar kabung.

Suatu ketika selepas mengerjakan bendang bersama murid-muridnya, Tuan Tulis menyajikan mereka dengan buah tamar yang masih segar, seolah-olah baru dipetik. Sedangkan tiada sebatang pun pohon tamar yang tumbuh disitu. Selain bersawah beliau juga menternak kerbau tetapi kerbau ternakan Tuan Tulis begitu berdisiplin hingga tidak mahu sama sekali makan padi apalagi pergi sawah orang lain. Kerbau-kerbaunya begitu mengikut kata kerana Tuan Tulis dikatakan pernah memberi amaran, "kamu makan rumput saja, jangan makan padi orang." Disebabkan itu, penduduk di situ memang mengenali kerbau Tuan Tulis dan memang tidak akan memakan padi mereka. Kerbau itu dibiarkan merayau tanpa ditambat dan orang kampung tidak akan menghalau kerbau Tuan Tulis jika masuk ke bendang mereka. Kehalusan budinya bukan saja kepada manusia tetapi kepada binatang.

Suatu hari ketika dalam perjalanan, beliau terserempak dengan sekumpulan semut yang tidak dapat meneruskan perjalanan kerana dihalang lopak air. Beliau berhenti dan membuat jambatan kecil sehingga semua semut itu melepasi lopak air. Beliau juga tidak sanggup melihat binatang diseksa dikurung dan pernah membeli burung dalam sangkar lalu membebaskannya. Tuan Tulis sendiri memelihara beratus ekor burung merpati tetapi dilepas bebas, diberi makan, minum dan disediakan rumah burung untuk berteduh dan bertelur.

Penulis buku 7 Wali Melayu, saudara Abdul Ghani Said didalam kajiannya menjelaskan pada awal tahun 1900, Tuan Tulis tiba-tiba hilang sewaktu tukang cukurnya masuk kedalam rumah sebentar untuk mengasah pisau cukur. Apabila dia keluar didapatinya Tuan Tulis yang sedang dicukurnya tadi telah tiada. Justeru tidak lama kemudian Tuan Tulis muncul kembali.
"Kemana tuan pergi?"
"Aku ke Mekah, bantu memadamkan kebakaran besar di sana."

Bersama penduduk kampung, Tuan Tulis dapat membina sebuah masjid di Kampung Kuala Talang. Masjid itu siap dibina dalam tahun 1922. Di sinilah dia mengajar, membimbing masyarakat dan berdakwah. Orang mula mengenalinya sebagai alim lagi warak serta seorang wali.

Suatu subuh, sewaktu beliau sedang bertafakur tiba-tiba nyawanya diangkat oleh Allah. Hari kemuncak kegembiraan bagi seorang kekasih Allah menemui Penciptanya itu berlaku sekitar 7.30 pagi pada hari ke sepuluh bulan Ramadhan. Tuan Tulis kembali ke rahmatullah pada tahun 1923 sewaktu berusia 83 tahun. Tetapi pada tahun 1925, berlaku peristiwa benar di mana beliau dikatakan mengubat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad ibnu Tuanku Antah di London. Hubungan mereka rapat kerana Tuan Tulis tinggal berdekatan dengan Istana Sri Menanti di Kuala Pilah. Dalam pertemuan itu, Tuan Tulis meminta segelas air lalu dijampinya dan disapu ke tempat sakit manakala baki air itu diminum Tuanku Muhammad. Selepas itu, baginda beransur sembuh dan kemudian masuk ke dalam bilik untuk mengambil sesuatu. Apabila keluar, baginda menyedari Tuan Tulis sudah ghaib. Selepas itu barulah baginda sedar sebenarnya wali Allah itu sudah meninggal dunia dua tahun semasa kejadian itu. Beliau cuma hadir secara kerohanian.

Semasa hayatnya Tuan Tulis suka mendampingi kanak-kanak dan bergaul bersama orang-orang jahil dengan tujuan berdakwah. Sentiasa menjadi tempat rujuk masyarakat dan menyelesaikan permasalahan penduduk. Gemar memakai kain pelikat atau seluar jerut, berbaju Melayu atau baju labuh, sentiasa berkopiah. Tuan Tulis tidak meninggalkan zuriat dan harta tetapi mempunyai anak murid yang ramai. Beliau hidup dalam keadaan zuhud, jujur, ikhlas dan sangat kuat beribadat.

Sewaktu jenazahnya diusung ke pusara, beratus-ratus ekor burung merpati peliharaannya memayungi jenazahnya daripada pancaran matahari. Kemudian burung-burung itu pergi entah kemana dan tidak pulang-pulang lagi ke sarang. Jenazahnya dikatakan ghaib secara tiba-tiba semasa diturunkan ke liang lahat.

No comments:

Post a Comment