Sunday, 14 July 2013

Bahaya Pluralisme : Kesan dan Implikasi Fahaman

Secara umumnya, ‘Malaysia’ adalah sebuah negara yang menjunjung tinggi agama Islam sebagai agama rasmi. Merujuk kepada Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan, kalimah Islam adalah syahadah rasmi yang telah pun dilafazkan ketika Islam mula bertapak di negara kita. Manakala kalimah ‘Malaysia’ pula adalah berakar-umbikan daripada kalimah pokok iaitu kalimah ‘Melayu’ seperti yang dibuktikan dalam panggilan nama asal negara ini iaitu ‘Tanah Melayu’ atau ‘Kepulauan Melayu’.

Panggilan ini diberikan kerana memang tanah dan kepulauan rantau ini adalah didiami oleh penduduk asalnya iaitu kaum Melayu. Fenomena ini juga terjadi di negara lain seperti benua India, Afrika, Tanah Arab dan Tanah Besar Cina semuanya adalah didiami oleh kaum penduduk asalnya yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Ini kerana Malaysia berbeza dengan Australia, Amerika Syarikat atau Singapura. Adalah kurang bermanfaat malah merbahaya kalau Malaysia hendak mengikut acuan atau model yang tidak serasi dengan hakikat dirinya yang sudah memiliki sistem sosial dan syariat sediada.

Kini adalah jelas kepada kita bahawa dengan kewujudan aliran fahaman Pluralisme Agama yang terbukti menyeleweng daripada asas-asas dan landasan ajaran Islam. Maka wajarlah kita meneliti kesan dan implikasinya terhadap keharmonian dan keselamatan negara dalam konteks Malaysia secara khusus. 

Implikasi Aqidah
Pluralisme Agama sangat berpotensi untuk menghakis kemurnian aqidah para penganut Islam di Malaysia secara sedar mahupun tidak. Pluralisme Agama jugamembuka pintu kepada kesyirikan dan kekufuran. Jika sudut aqidah umat Islam sudah terkompromi maka sebenarnya keseluruhan jati diri keagamaan umat itu sendiri sudah tergadai. Dalam hal ini Allah SWT sangat tegas dalam perkara yang melibatkan soal aqidah berbanding aspek lain.

Bercakap tentang Islam di Malaysia, walaupun kita sedar bahawa masih banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu ditampung tetapi menjaga kemurnian aqidah serta bertegas terhadap penyelewengan aqidah adalah antara aspek diberi lebih perhatian. Sejak daripada kes Natrah lagi hinggalah ke kes Nuraishah Bokhari, Azlina Jailani (Lina Joy), kes-kes murtad yang sampai ke pengetahuan umum akan menarik reaksi agresif masyarakat Islam.

Di suatu sudut yang lain, fahaman-fahaman aqidah atas nama Islam yang menyeleweng turut dikekang dan tidak diberikan kebebasan untuk berkembang-biak. Orang awam di kalangan umat Islam sendiri sangat sensitif dan takut dengan ajaran sesat. Namun begitu ianya amat berbeza jika dibandingkan Pluralisme Agama di mana ia adalah suatu fahaman yang datang dalam bentuk yang halus serta ditonjolkan imej fahaman Islam yang lebih moden dan progresif. Oleh itu mungkin sahaja seseorang itu sudah terjerumus ke dalamnya tanpa menyedari atau tanpa merasakan bahawa ianya suatu yang salah. 

Implikasi Keutuhan Umat
Jika kita sudah kompromi dalam bab aqidah maka umat Islam sudah menghakis keutuhan umatnya dan menempah kebinasaan meskipun mungkin kesan zahirnya tidak terus kelihatan. Tetapi, lambat laun fahaman Pluralisme Agama akan tetap menimbulkan krisis yang besar dan jelas di kalangan umat Islam.

Setidak-tidaknya akan mencetuskan pertelingkahan dan perselisihan sesama Islam dalam bab aqidah yang dititik-beratkan oleh orang-orang Islam. Ini adalah kerana adalah mustahil untuk umat Islam di Malaysia untuk bersepakat atas satu kesesatan seumpama Pluralisme Agama. Maka umat Islam akan berpecah kepada dua puak yang mempunyai tahap perselisihannya itu lebih buruk berbanding dengan perselisihan politik kepartian. Malahan ia juga akan penyokong parti politik yang sama pun boleh jadi sakit hati dan berpecah belah akibat Pluralisme Agama. Perpecahan adalah antara punca utama kelemahan dan kemunduran umat Islam yang tak mampu kita tanggung dalam realiti Malaysia. 

Implikasi Sosio-politik
Susulan daripada masalah implikasi agama dan kefahaman, Pluralisme Agama juga akan membawa kesan akibat buruk kepada situasi sosio-politik umat Islam. Ia terbukti apabila umat Islam di Malaysia tidak lagi sensitif dan peduli terhadap ajaran agama Islam di mana jati diri dan aqidah dapat dicairkan melalui faham ini. Secara tidak langsung kepercayaan beragama sebagai salah satu benteng paling kukuh bagi formula sosio-politik di Malaysia juga akan mudah dirobohkan.

Pengkaji sosio-politik yang insaf akan mengakui bahawa sepanjang sejarah negara, agama menjadi antara faktor utama di sebalik kekukuhan kedudukan umat Islam di negara ini. Keteguhan umat Islam sebagai umat teras dalam masyarakat berbilang kaum dan agama pula menjadi sangga utama yang terbina di sekelilingnya kestabilan dan keharmonian agama.“MERUNGKAI FORMULA YANG SUDAH TERBUKTI INI BERERTI MERUNGKAI IKATAN YANG SELAMA INI MENGIKAT KESEBATIAN MASYARAKAT”. 

Pluralisme Agama adalah suatu tikaman ke jantung negara dan bangsa kerana Islam dan keIslaman adalah jantung dan hati kepada Malaysia dan bangsa Melayu sebagai bangsa terasnya. Oleh itu, jika Pluralisme Agama tidak dirasakan terlalu beracun atau berbisa dalam konteks negara lain, tetapi di Malaysia ia adalahracun yang membunuh.

No comments:

Post a Comment