Sunday 28 July 2013

Filem The New Village Mengangkat Komunis Sebagai Pejuang Kemerdekaan?

Kontroversi filem The New Village arahan Wong Kew-Lit ini berkisar kepada dakwaan bahawa filem ini cuba mengagung-agungkan komunis secara tersirat. The New Village khabarnya dirancangkan sebagai sebuah filem berbentuk epik – yaitu rakaman sejarah negara dan dijadual akan ditayangkan pada 22 Ogos 2013.
Malangnya permulaan filem ini jelas menganggungkan komunis apabila menulis “Sesama peperangan anti-penjajahan British.” Secara simboliknya ia membawa maksud Komunis adalah pejuang kemerdekaan negara. Berdasarkan video klip pembukaan ini, maka jelaslah Pengarah Filem mempunyai niat untuk mengangkat martabat perjuangan komunis daripada perjuangan idelogi kepada perjuangan kemerdekaan.
The New Village
Filem yang memaparkan kisah yang berlaku pada 1949, dimana Tanah Melayu ketika itu diisytihar darurat setelah peperangan berlaku antara pentadbiran tentera British dengan Parti Komunis Malaya. Seramai 500,000 penduduk Cina telah dipindahkan di 480 kem di seluruh Semenanjung Tanah Melayu untuk membendung aktiviti komunis. Akta Perkampungan Baru 1949 yang telah diwujudkan selama 40 tahun menceritakan bagaimana keluarga Hakka menjalani rutin harian mereka setelah British mengisytiharkan darurat.
Filem ini sepatutnya dibuat berlandaskan sejarah. Ia sepatutnya menjadi satu titik penting dalam memberi maklumat kepada generasi muda cina mengenai kejahatan ideologi komunis dan sikap tentera komunis sendiri yang sebenarnya lebih kejam daripada tentera British.
Pengarah The New Village tidak faham antara perjuangan kemerdekaan iaitu membebaskan Tanah Melayu dari penjajahan dengan perjuangan menegakkan ideologi komunis di Tanah Melayu. Penduduk peribumi Tanah Melayu tidak pernah merestui perjuangan menegakkan ideologi komunis yang berkiblatkan Peking. Bagaimanapun Timbalan Presiden Parti Islam se-Malaysia menganggap komunis adalah pejuang kemerdekaan. Akan tetapi tiada siapa pun ysng mempersoalkan apakah kelulusan Mat Sabu untuk membuat tafsiran sedemikian.
Komunis bukanlah pejuang kemerdekaan, kerana majoriti pejuangnya adalah dari Tanah Besar China dan bukannya penduduk asal atau pribumi Tanah Melayu. Hakikat bahawa majoriti orang Melayu sendiri ketika itu menolak komunis, menunjukkan mereka tidak diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan.
Malangnya, filem ini dibuat bagi menyusup minda penonton secara halus bahawa komunis adalah pejuang kemerdekaan negara. Niat tersebut bukan sahaja jelas pada intro filem ini sahaja. Penggunaan bahasa Mandarin dan bukan bahasa kebangsaan dalam filem ini juga mengukuhkan lagi prasangka orang ramai terhadap filem ini. Ini bermakna filem orang Cina Malaysia ini adalah untuk mengangkat kaum cina yang menjadi tentera komunis di Tanah Melayu.
Sejarah Kampung Baru
Mengikut sejarah, KAMPUNG BARU dibuka semasa Darurat dari 1948 hingga 1960 sebagai strategi ketenteraan menentang Komunis di bawah Rancangan Briggs. Pada zaman Komunis bermaharajalela di Tanah Melayu mereka mendapat banya bantuan makanan dan perubatan daripada orang Cina yang tinggal di kampung-kampung, pinggir bandar dan berhampiran hutan. Bagaimanapun ada di antara orang-orang Cina ini bersimpati kepada perjuangan komunis atas dasar negara asal. Ada pula yang terpaksa membantu komunis kerana takut diseksa dan dibunuh.
Rancangan Briggs dilancarkan oleh Sir Henry Gurney di Persekutuan Tanah Melayu pada pertengahan tahun 1950. Pengarah operasi yang bertanggungjawab ialah Leftenan Sir Harold Rowdon Briggs merupakan tindakan oleh kerajaan jajahan British untuk menyekat bekalan makanan serta ubat-ubatan daripada berjaya sampai ke tangan Parti Komunis Malaya yang pada masa itu berniat menguasai Persekutuan Tanah Melayu.
Antara tindakan yang dijalankan ialah dengan memindahkan penduduk Cina dari kawasan-kawasan terpencil yang bertaburan dan menempatkan mereka di kawasan penempatan semula atau di Kampung Baru. Rancangan itu merangkumi pemindahaan penduduk Cina ke kawasan-kawasan seperti di Jinjang supaya tidak diugut oleh Min Yuen untuk memberi mereka maklumat dan bekalan makanan serta ubat-ubatan. Tujuannya pemindahan penduduk Cina ke kampung-kampung baru adalah semata-mata untuk melumpuhkan kegiatan Min Yuen.
Kampung-kampung baru ini dipagar dengan kawat berduri serta dikawal oleh pasukan keselamatan. Penduduk Kampung Baru ini selain diberi tempat tinggal, banyak kemudahan lain disediakan seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta bekalan elektrik dan juga bekalan air paip.
Jumlah penduduk yang terbabit dalam rancangan ini adalah seramai 470,509 orang yang ditempatkan di 440 buah kampung baru. Persatuan Cina Malaya (MCA) yang ditubuhkan pada tahun 1949 banyak membantu usaha kerajaan menempatkan semula orang Cina. Seramai 500,000 penduduk Cina telah dipindahkan di 480 kem di seluruh Semenanjung Tanah Melayu untuk membendung aktiviti komunis ini.
Perak adalah negeri dengan bilangan terbanyak Kampung Baru Cina iaitu 134 buah berbanding negeri lain seperti Johor (84 buah) dan Pahang (55 buah). Antara ciri struktur dan fizikal Kampung Baru Cina adalah jalan grid yang seragam dan saiz kawasan rumah yang umumnya sebesar 60 x 80 kaki persegi (18 x 24 meter persegi).

2 comments:

  1. Filem kontroversi The New Village yang dijadualkan ditayang pada 22 Ogos 2013, ditangguhkan sementara Lembaga Penapisan Filem (LPF) menjalankan penelitian plot dan jalan cerita serta mesej tersembunyi di dalam filem itu.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, filem tersebut dikatakan memuatkan unsur-unsur komunisme dalam beberapa babak selepas dibangkitkan dalam blog tempatan, kerajaan memandang serius perkara tersebut kerana dilaporkan filem itu terlalu mengagung-agungkan perjuangan haluan kiri Parti Komunis Malaya (PKM) pada zaman pemerintahan British.

    ReplyDelete
  2. Kesimpulannya "The New Village" secara halus mengangkat Parti Komunis Malaya sebagai hero dan meletakkan Rejimen Askar Melayu dan polis yang ketika itu berkhidmat dengan British sebagai musuh dan 'orang jahat' yang perlu dihapuskan.

    ReplyDelete