Doa disifatkan dalam salah sebuah hadis sebagai senjata orang Islamdan pada ketika yang lain diibaratkan sebagai otak dari ibadat. Orang yang berpuasa seharusnya membanyakkan berdoa kepada Allah. Doa memberi pengharapan dan menambah keyakinan seorang hamba terhadap penciptanya. Doa juga menyedarkan manusia betapa kerdil dan lemah manusia terhadap perancangan Allah.
Walau apa pun yang dirancang manusia ditangan Allah jua kuasa penentunya. Usaha manusia tidak akan dapat mengatasi qadak dan qadar Allah.
Orang yang berpuasa digalakkan untuk banyak berdoa hinggakan disebut dalam satu hadis bahawa mereka termasuk dalam 3 golongan manusia yang tidak akan ditolak doanya. Sabda Rasulullah yang bermaksud 3 orang yang tidak akan ditolak doanya ialah pemerintah yang adil, orang yang berpuasa hingga dia berbuka dan orang yang teraniaya. Dapatlah kita fahami di sini latihan jiwa hasil daripada puasa akan menyebabkan manusia hampir kepada Allah dan lantaran ia dekat kepada Allah doanya mudah diperkenankan.
Manusia yang banyak berdoa kepada Allah bukan saja akan akur pada ketentuan Allah tetapi berkeyakinan bahawa Allah memakbulkan permintaannya bahkan apa yang telah ditentukan Allah adalah yang terbaik untuk dirinya.
Dalam ayat 186 Surah Al-Baqarah yang bermaksud: ''Apabila hambaKu bertanya tentang Aku katakan (wahai Muhammad) bahwa Aku dekat dan Aku menyampaikan doa orang yang meminta kepada Ku.''
Allah menjanjikan bahawa setiap yang meminta pasti akan dimakbulkan permintaannya. Ini bermakna Dia akan mengotakan janji-Nya. Apa yang dihajati oleh orang yang berdoa tadi akan ditunaikan tetapi menurut cara Allah dan perancangan-Nya bukan perancangan manusia. Kadang-kadang perancangan Allah sama dengan perancangan orang yang meminta kadang-kadang ia berbeza. Apa pun yang pasti doanya termakbul dan Allah memberi pilihan yang terbaik untuk manusia itu.
Ibadat puasa bukan saja menggandakan pahala untuk orang yang taat melakukannya tetapi ia menambah kekuatan spirituil melalui sifat ikhlas. Amalan puasa adalah antara manusia dengan Allah. Jika kita makan atau minum dengan diam-diam mungkin tiada siapa yang melihat cuma Allah saja yang tahu.
Dengan ini puasa menanam sifat jujur dalam diri sendiri dan kepada Allah. Apabila kita membiasakan diri dengan ikhlas, kita bertambah yakin dengan segala tindak-tanduk kita. Kerana pentingnya sifat ikhlas ini Allah SWT sendiri yang akan membatas pahala orang yang berpuasa.
No comments:
Post a Comment