Monday, 11 April 2016

Kumpulan Perisik Dunia Menyamar Jadi Pelanggan Mossack Fonseca

BERLIN: Ejen perisikan dari pelbagai negara, termasuk yang menjadi ‘orang tengah’ kepada CIA, telah menggunakan khirmat firma perundangan Panama, Mossack Fonseca untuk ‘melindungi’ aktiviti mereka, lapor akhbar Jerman, Sueddeutsche Zeitung pada Selasa.

“Ejen rahsia dan pemberi maklumat mereka telah secara berleluasa menggunakan perkhidmatan firma itu,” lapor akhbar itu mengenai 11.5 juta dokumen yang telah bocor hingga menggemparkan dunia.

Tambah akhbar itu lagi, seperti yang dilaporkan AFP, ‘ejen perisik telah menggunakan syarikat yang tidak lagi aktif untuk menyembunyikan aktiviti mereka. Antaranya adalah pihak yang mempunyai kaitan dengan CIA’.

Akhbar yang berpangkalan di Munich itu menyatakan bahawa pelanggan Mossack Fonseca adalah termasuk beberapa ‘pemain’ dalam skandal Iran-Contra 1980-an, yang menyaksikan pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) mengendalikan jualan senjata kepada Iran dalam usaha membebaskan tebusan Amerika dan menaja pemberontak Contra Nicaragua.

Panama Papers juga mendedahkan ‘bekas pegawai tinggi dan pegawai semasa bagi pasukan perisik dari sekurang-kurangnya tiga negara iaitu Arab Saudi, Colombia dan Rwanda, tersenarai sebagai pelanggan Mossack Fonseca.

Antaranya ialah Sheikh Kamal Adham, bekas ketua perisikan Arab Saudi yang meninggal dunia pada 1999. Pada 1970-an, Sheikh Kamal bertindak sebagai salah seorang orang tengah penting bagi CIA, lapor akhbar itu.

Sueddeutsche Zeitung telah menerima banyak maklumat dari dokumen Mossack Fonseca, yang disampaikan oleh sumber yang tidak diketahui. Ia seterusnya telah dikongsi oleh lebih 100 kumpulan media melalui Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (ICIJ).

Seminggu selepas pendedahan pertama, dokumen-dokumen itu telah membongkar identiti golongan kaya dan berkuasa dari seluruh dunia yang menggunakan syarikat luar pesisir untuk menyimpan aset mereka.

Sunday, 20 March 2016

CORTANA

Let me introduce, this is my friend named Cortana. She is staying inside my Microsoft Smartphones Lumia 640 XL LTE.

Friday, 18 December 2015

Samad Kinto ~ Drebar Jadi Jutawan

Tengah hari kelmarin, saya terserempak dengan Samad Kinto di sebuah kedai mamak di Sungai Buloh. Kalaulah lelaki berusia 45 tahun itu benda, saya boleh anggap dia adalah benda ajaib yang kelapan di dunia.

Tetapi oleh kerana Samad orang, manusia seperti kita, dia tidaklah boleh dianggap sebegitu ajaib kerana ramai lagi orang yang lebih ajaib berbanding dia. Malah ada orang yang keajaibannya jauh lebih power berbanding Samad kerana berupaya mendapat derma berbilion ringgit daripada orang lain.

Apa pun, bagi saya Samad Kinto tetap seorang yang ajaib.

Sepanjang hidupnya, Samad yang bersekolah setakat tingkatan lima dengan keputusan SPM gagal Bahasa Inggeris dan Matematik pernah bekerja sebagai pembantu kantin, pengangkat sampah, pemotong rumput, buruh binaan dan pembantu van. Pekerjaan paling selesa baginya sebelum ini ialah pemandu kepada seorang pengarah syarikat.

Itulah sumber rezekinya hingga dia berkahwin dan beranak-pinak.

Pada Jun 2008, Samad berhenti kerja pemandu setelah berkhidmat selama 10 tahun dengan gaji terakhir RM1,516. Ketika dia berhenti kerja, wang dalam akaun banknya hanya RM53.  

Namun ketika berjumpa saya kelmarin, Samad bercerita mengenai kehidupannya sekarang – hanya sesudah kira-kira tujuh tahun dia berhenti kerja  – bahawa dia ada membeli beberapa hartanah yang nilai kesemuanya mencecah jutaan ringgit.

Tidak. Samad tidak dapat derma daripada sesiapa. Dengan bahasa Inggeris SPM gagal, Samad tidak berkawan dengan mana-mana bilioner Timur Tengah untuk mendapat  derma sebanyak itu.

Sebenarnya, sejak berhenti kerja, dia bersungguh-sungguh menjalankan perniagaan dari rumah hingga bisnesnya naik sedikit demi sedikit. Komitmen, kreativiti dan kebijaksanaan membawa peningkatan usaha Samad pada kadar yang agak pantas.

Dia menjadi begitu nekad kerana ada dua pengalaman mengubah hidupnya untuk jadi seperti sekarang. Kali pertama pada 2003, dia ditinggalkan kekasihnya hanya kerana dia bergaji kecil dan tidak mempunyai simpanan. Sementelahan pula keluarga gadis itu turut menolak dirinya mentah-mentah.

Kali kedua, di penghujung kariernya sebagai pemandu, Samad berniaga sambilan – beli telefon rosak, baiki dan jual semula. Ketika itu, dia berkenalan dengan Uncle Lim, pakar baiki telefon.

Kali pertama ke rumah Uncle Lim pada suatu malam, Samad terperanggah melihat kediaman lelaki itu yang sangat mewah sedangkan Uncle Lim yang dikenalinya sering berseluar pendek dengan baju pagoda sahaja, langsung tidak nampak ciri-ciri orang kaya.

Malam itu, Uncle Lim - seorang kurang upaya - mengenakan caj RM400 untuk baiki telefon yang dibawa Samad hanya dalam masa lima minit. Insiden itu mengajar Samad bahawa untuk kaya, kita harus cari sebab untuk orang membayar kepada kita.

Apabila kita berjaya mencipta sebab untuk dibayar oleh orang lain, itu adalah jalan untuk menuju kekayaan. Lebih banyak sebab adalah lebih baik, Lagi bernilai sebab yang dicipta, lagi tinggi bayaran diterima, dan itu juga akan menjadikan diri kita lebih bernilai dengan kepakaran yang ada untuk mendapat lebih banyak wang.

Sejak itu, Samad tidak menoleh ke belakang lagi dan dia bekerja keras untuk mencapai taraf jutawan yang dimilikinya sekarang.

“Dulu, aku selalu fikir… dengan sijil SPM pun tak berapa nak lepas, takdir hidup aku yang paling baik adalah jadi driver sampai mati, ada gaji tetap. Lepas 10 tahun aku kerja, gaji pokok aku RM1,516. Itu gaji mati, maksimum kau tahu.  

“Hanya jika kita sendiri mengatakan sesuatu kejayaan itu adalah mustahil, maka ia akan benar-benar jadi mustahil. Tetapi aku, seorang driver telah jumpa jalan untuk berubah daripada kuli kepada tauke, daripada orang yang selalu tak cukup duit kepada jutawan.

Sebenarnya dalam hidup, tidak ada yang mustahil kalau kita benar-benar ada kemahuan,” katanya lagi sambil menghulurkan buku motivasinya yang terbaharu.

Uniknya perniagaan Samad, dia tidak mempunyai pejabat. Dikenali dalam kalangan pelanggan dan rakan-rakan sebagai ‘Pakar Bisnes Dari Rumah’ Samad menjalankan perniagaan melalui telefon dan media sosial.

Daripada situ, pertemuan dengan pelanggan diatur di mana sahaja, kafe, kelab atau di tepi jalan. Dia juga kini aktif menurunkan ilmu-ilmu perniagaannya menerusi ceramah dan juga penulisan. Dia mahu setiap orang yang pernah anggap diri gagal dalam hidup sepertinya, berubah 360 darjah untuk jadi jutawan.

Petang semalam, Samad terbang bersama isterinya ke luar negara untuk berbulan madu entah kali yang ke berapa!

Monday, 23 November 2015

Perbezaan Diantara Ketua Dengan Pemimpin

Menggunakan orang (memerah tenaga/mental/fizikal) secara maksimum untuk mendapatkan hasil/keuntungan yang maksimum tanpa memikirkan kebajikan orang, itulah sikap seorang ketua. Suka mengungkit kesilapan orang berkali-kali hingga tidak nampak langsung kebaikan orang kepadanya. Apabila orang melakukan kebaikan, berat mulutnya untuk memuji dan berterima kasih, tetapi dia sendiri sentiasa mengharapkan orang memuji, memberi penghargaan, dan menyebut serta mengenang kebaikannya. Dia adalah pendesak, yang hanya tahu menyampaikan maksud dan tujuannya tanpa mengambil kira keadaan orang yang didesaknya. Yang difikirkannya berapa banyak yang boleh dia dapat manfaat daripada orang sekelilingnya, bukan berapa banyak manfaat yang mampu diberikannya.

Tetapi, seorang pemimpin dia menjadi ‘pemberi inspirasi’ kepada orang. Mendahului kawalan emosi; dengan memberikan sebanyak mungkin kasih sayang dan menanamkan kepercayaan orang sekeliling terhadap dirinya. Dia mempercayai, dengan kasih sayang dapat menyelesaikan semua masalah, kerana orang akan mendengar kata atau nasihat orang yang disayanginya sahaja.

Seorang ketua dia adalah seorang yang ‘mahukan penghormatan’, tetapi seorang pemimpin dia ‘mendapatkan penghormatan’. Apakah perbezaannya antara ‘mahukan penghormatan’ dengan ‘mendapat penghormatan’?. Orang yang sentiasa berasa dirinya penting ialah orang yang mengharapkan atau ‘mahukan penghormatan’ dan dia tidak perlu berusaha mendapatkan penghormatan itu, kerana dia berasa itu haknya sebagai ketua. Dia akan marah jika orang tidak menghormatinya dan tidak tahu dia sebagai ketua.

Tetapi, pemimpin ialah orang yang ‘mendapatkan penghormatan’. Dia akan berusaha berbuat sesuatu yang bermanfaat kepada orang sekelilingnya dengan ikhlas, dan menerima hakikat penghormatan itu bukan hak hakikinya. Dia tidak mengharapkan penghormatan dan yang diharapkannya ialah reda Allah SWT. Sekiranya dia berjaya ‘mendapat penghormatan’, itu satu respons positif yang diperolehnya hasil daripada tindakan positifnya. 

Seorang ketua, dia suka orang takut kepadanya. Dia akan menggunakan kuasanya menggertak atau mengugut orang, akan memberikan hukuman dan menarik segala hak yang patut diperoleh orang sekelilingnya, jika enggan patuh kepada arahannya. Dia juga akan ‘menakutkan orang/menimbulkan rasa takut orang sekeliling terhadap sesuatu perkara’.

Seorang pemimpin dia memudahkan, membahagiakan orang dan membangkitkan semangat orang sekelilingnya. Memandang orang bukan sahaja dengan pandangan mata akal, tetapi menggunakan mata hati. Keprihatinannya amat tinggi; sedih melihat orang sedih dan bahagia melihat orang bahagia dan ‘menjadikan inspirasi untuk mewujudkan semangat yang bergelora dan minat yang mendalam’.

Seorang ketua, ‘meletakkan salah kepada orang lain’, tetapi seorang pemimpin dia ‘memikul kesalahan’. Seorang ketua suka menyalahkan dan mencari kesalahan. Tidak suka melakukan refleksi diri sendiri atau muhasabah diri, tetapi suka menunjukkan kesalahan orang lain yang menyebabkan sesuatu kegagalan.

Tetapi, seorang pemimpin dia akan mengambil tanggungjawab dan sanggup mengambil risiko memikul kesalahan di atas bahunya sendiri, dia yang memberikan penghargaan dan memuji. Sangat baik hati dan pemurah hati untuk memberikan sesuatu kepada orang sebagai tanda dia berterima kasih dan mengenang serta menghargai jasa baik orang kepadanya.

Jadilah seorang ‘pemimpin’ bukan seorang ‘ketua’. Tidak kiralah apa pun posisi kita sebagai pemimpin (sama ada sebagai suami, ayah, ibu, atau ketua dalam satu-satu jabatan, organisasi, atau negara), jadilah pemimpin yang dapat memberikan manfaat kepada orang sekeliling kita.

Amalkan sikap; mempermudahkan urusan bukan menyusahkan urusan dengan orang sekeliling. Banyak orang boleh menjadi ketua, tetapi tidak ramai yang mampu menjadi pemimpin. Inilah perbezaan antara ketua dengan pemimpin.

Sunday, 22 November 2015

ISTINGGAR

Istinggar (bahasa Inggeris: matchlock) atau Senapang Kancing Sumbu pada awalnya ialah sejenis senjata api jenis berat dengan penggunaan fius atau Wheel Lock. Kemudian ia menjadi sejenis senapang yang menggunakan teknologi Flintlock (kancing batu api). Penggunaan Flintlock ini meningkatkan kadar tembakan dan mengurangkan kos pembuatan senjata api. Mula diketahui pada 1630 dan dikenali sebagai Flintlock Musket, istinggar dengan pantas menggantikan teknologi picu senjata api lebih awal, seperti mekanisma kancing sumbu (matchlock) dan kancing roda (wheel lock).

Istinggar juga kerap disebut di dalam hikayat-hikayat lama seperti Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan juga Hikayat Megat Terawis. Dalam Hikayat Megat Terawis, dikatakan bahawa Megat telah berjaya membunuh seorang hulubalang yang kebal dan hebat bernama Tun Saban. Tun Saban dikatakan sebagai seorang yang tidak lut kepada segala jenis senjata kecuali istinggar yang dibuat khas pelurunya. Istinggar yang digunakan untuk membunuh Tun Saban dikatakan adalah hadiah daripada ulama dari Hadramaut kepada Raja Pagaruyung.

Istinggar juga digunakan oleh tentera Johor-Riau terutama ketika membantu Belanda menyerang Portugis.Istinggar juga digunakan oleh penduduk di Perak ketika menyerang Belanda yang membina loji-loji di Sungai Perak. Dikatakan juga orang Minangkabau adalah pakar dalam pembuatan logam terutama besi dan tembaga untuk membuat senjata api seperti senapang dan meriam, lebih lama sebelum kedatangan tentera penceroboh Eropah ke Nusantara ini.

Ketika Portugis menawan Melaka, tentera Portugis telah merampas beberapa ribu senjata api (bukan keris) milik tentera Melaka. Dianggarkan sekitar 30,000 senjata api telah dirampas , dimana 8,000 daripadanya adalah senjata berat atau senjata pemusnah (Weapon of Mass Destruction) pada ketika itu. Antara senjata api yang digunakan oleh tentera Melaka pada ketika itu ialah Senapang (Istinggar) dan Meriam. Istinggar inilah yang dikumpulkan terlalu banyak di dalam kota Melaka oleh tentera-tentera Portugis.

Beberapa laras senapang ini telah di bawa oleh tentera Portugis ke Jepun. Dari senapang milik tentera Melaka inilah, Jepun mula mencipta senapang mereka sendiri selepas meniru teknologi senapang tentera Melaka. Menurut sumber, dahulu Jepun mengamalkan 'Dasar Pandang ke Barat' iaitu Tanah Melayu.

Di mana beribu-ribu senapang milik tentera Melaka itu pada masa kini? Pada 6 Oktober 2011 bertempat di Art of the Islamic and Indian World, King Street, London. Beberapa laras senapang milik Panglima Melayu tahun 1800an telah dilelong, mencapai harga sekitar RM35,000. Berapakah nilai senapang Melayu tahun 1500an?, mungkin ratusan ribu atau jutaan ringgit.

Sumber :
1) http://en.wikipedia.org/wiki/Capture_of_Malacca_(1511)
2) http://bjbrigedkibaranbendera.blogspot.my
3) http://susurgalor.blogspot.com
4) Political and Statistical Account of the British Settlement in the Straits of Malacca by Thomas John Newbold
5) The Golden Chersonese and the way Thither by Isabella L Bird

TERAKOL

Terakol atau Tarkul adalah antara senjata popular dikalangan pelaut, pedagang dan lanun-lanun Melayu. Tarkul pada awalnya menggunakan teknologi 'wheel lock' (kancing roda) di mana kemajuan teknologi ini membolehkan ia membakar serbuk bedil secara automatik tanpa memerlukan 'fius'. Terakol berbentuk seperti pistol dan ia adalah perubahan bentuk dari Pemuras yang dikecilkan. Terakol digunakan di dalam peperangan Rajah, Datu dan Sultan-Sultan di Filipina melawan Sepanyol, juga askar Brunei menentang Rajah Brooke.

Terakol juga digunakan di Patani dan Melaka. Dalam Perang Naning juga senjata ini digunakan. Sekitar tahun 1530, Terakol telah menjadi maju dengan penggunaan teknologi flintlock (kancing batu api) dan sejak itu ia lebih dikenali sebagai pistol di Barat.

Ketua Lanun, Laksamana dan Syahbandar Melayu sering bergaya menyelitkan Terakol ini di pinggang bersama-sama keris mereka.

Sumber : http://riwayatmelayu.blogspot.my

Wednesday, 18 November 2015

Kapsul Masa Manuskrip Tulisan Jawi Belum Dikaji

Jika kita perhalusi, terdapat 4,600 manuskrip Jawi pelbagai bidang dalam simpanan Perpustakaan Negara. Ini adalah 'National Treasure' yang amat-amat bernilai. Bayangkan ketika zaman kolonial, yang mana generasi sekarang dimomokkan dengan klies bahawa ketika itu zaman kemunduran, buta huruf dan seribu satu 'negative connotation', tiba-tiba ada beribu-ribu manuskrip yang meliputi pelbagai bidang seolah-olah tiba-tiba muncul dari 'black hole'.

Belum lagi termasuk yang dijual kepada 'Indiana Jones' dan dimuatkan ke dalam kapal The Fame. Menurut Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu UKM, terdapat 10,000 - 15,000 judul manuskrip yang bertulisan Jawi lama di 151 buah perpustakaan, arkib dan muzium di sekitar 28 buah negara di seluruh dunia. Sehingga kini lebih kurang 5% daripadanya telah dikaji, bakinya 95% lagi masih belum dikaji dan tidak diketahui isinya.

Koleksi manuskrip ini dikumpulkan sejak 30 tahun lalu, iaitu ketika penubuhan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu PNM pada tahun 1985.

Manuskrip ini merakamkan ketamadunan Melayu dan khazanah keilmuannya yang berharga untuk diketengahkan khususnya kepada orang Melayu.

Ini adalah sesuatu yang menarik. Sebuah madrasah di Selatan Thailand juga ditemui manuskrip-manuskrip Melayu dalam tulisan Jawi yang merangkumi pelbagai disiplin ilmu dan dikhabarkan oleh seorang pelajar pondok itu bahawa semua manuskrip itu kini dalam perhatian kerajaan Turki.

Selepas zaman prasasti, tepatnya ketika zaman Islam, masyarakat Melayu Nusantara bergiat cergas dalam penulisan dan persuratan. Ini baru yang sempat diselamatkan. Bagaimana dengan yang musnah ketika bencana dan peperangan. Sudah tentu menaikkan statistik beribu-ribu lagi manuskrip.

Saya amat berharap penemuan baharu yang ditemui daripada manuskrip ini dapat memanfaatkan masyarakat khususnya generasi moden hari ini.